KEADAAN Sungai Kim Kim didapati tercemar dengan sisa daripada premis bukan industri. FOTO ihsan JAS
KEADAAN Sungai Kim Kim didapati tercemar dengan sisa daripada premis bukan industri. FOTO ihsan JAS
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah premis bukan industri di Pasir Gudang, di sini, diarahkan serta-merta menghentikan pelepasan tidak terawat ke Sungai Kim Kim yang menyebabkan sungai itu tercemar semula dan berbau busuk, sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, pengendali premis berkenaan juga sudah diarahkan menjalankan langkah pembaikan segera bagi memastikan kualiti air Sungai Kim Kim tidak lagi dicemari.

Katanya, siasatan susulan yang dijalankan mendapati premis berkenaan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan berlakunya pelepasan air sisa buangan tanpa dirawat mengalir memasuki Sungai Kim Kim.

"Pensampelan air sisa buangan sudah dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk mengetahui kandungan sebenar yang mencemarkan Sungai Kim Kim semula.

"Tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil terhadap premis itu mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Penerbangan dron dan pengujian air (analisis suhu dan nilai pH) juga sudah dijalankan di sekitar kawasan diadu untuk memantau kesan pencemaran di Sungai Kim Kim.

"JAS ingin mengingatkan kepada mana-mana sektor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran, atau berdepan dengan tindakan tegas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan misteri pencemaran bau dialami penduduk Kampung Bukit Pulai, di sini, Rabu lalu terjawab apabila JAS Johor mengesan kegiatan pelepasan air sisa daripada premis bukan industri di Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian jam 10 malam pada 28 Julai lalu, penduduk berhampiran kampung itu dilaporkan mendakwa, terdapat bau busuk dan dikhuatiri menambahkan lagi tekanan penduduk di kawasan terbabit ketika pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tindakan pantas JAS Johor bermula selepas menerima aduan penduduk, kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, berikutan status Sungai Kim Kim sebagai sungai berisiko serta berada dalam senarai teratas pemantauan kerajaan negeri, JAS Johor segera menjalankan siasatan susulan aduan penduduk berhubung air hitam dan berbau busuk di Sungai Kim Kim, di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang.

"Ketika anggota JAS tiba di lokaso kejadian, air sungai memang didapati bewarna hitam dan berbau busuk.

"Selanjutnya pasukan penyiasat JAS t

menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa buangan dari sebuah premis bukan industri.

"Khamis lalu pula, melalui siasatan susulan yang dijalankan, didapati premis berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan berlakunya pelepasan air sisa buangan tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 10:51 AM