ANGGOTA Jabatan Amal Malaysia Johor Zon Selatan membersihkan anak sungai di Kampung Baru Sri Aman, Kempas. FOTO Farid Noh
ANGGOTA Jabatan Amal Malaysia Johor Zon Selatan membersihkan anak sungai di Kampung Baru Sri Aman, Kempas. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Pencemaran udara hasil pembuangan sisa toksik ke anak sungai yang mengalir ke Sungai Tawakal di Kampung Baru Seri Aman, Seelong, Kempas, di sini, sejak malam kelmarin, kini semakin pulih.

Tinjauan ke anak sungai di Kampung Baru Seri Aman, mendapati kesan pencemaran termasuk tompokan minyak kehitaman yang dipercayai sisa kimia buangan terjadual berbahaya, masih lagi boleh dilihat dengan jelas.

Tompokan minyak hitam tebal dapat dilihat terperangkap di sekitar oil boom yang dipasang Jabatan Alam Sekitar (Jas) Johor, sejak malam kelmarin.

Bau toksik juga masih dapat dihidu, namun ia tidak sekuat pada malam insiden pencemaran itu berlaku yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan pengsan manakala 102 penduduk lagi terpaksa dipindahkan sementara.

Beberapa hidupan akuatik termasuk belut turut dapat dilihat mati akibat keracunan sisa toksik di anak sungai berkenaan.

Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar Jas Johor, Muhammad Faiz Mohd Shafie berkata, kualiti udara di kawasan kampung berkenaan menunjukkan perubahan positif berbanding kelmarin dan semalam.

Katanya, hasil cerapan yang dilakukan, mendapati bacaan kualiti udara yang lebih baik berbanding semalam yang merekodkan bacaan 0.6 hingga 1PPM, bacaan sisa kimia dalam udara.

"Bagaimanapun, pemantauan dan cerapan kualiti udara akan diteruskan di kampung ini bagi memastikan keadaan benar-benar pulih.

"Ia berikutan kita bimbang jika cuaca hujan ia akan membawa semula sisa kimia yang dibuang dari kawasan lain memasuki anak sungai di sini.

"Namun hasil, pemantauan dan kerja pembersihan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor sudah hampir 90 peratus dengan tinggal sedikit lagi kesan sisa kimia.

"Jas meletakkan empat oil boom di sepanjang kawasan anak sungai dan Sungai Tawakal sebagai benteng, sisa kimia yang masih ada akan diserap peralatan itu dan akan dibersihkan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Penyelaras Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan, Abdul Halim Ismail, berkata kerja pembersihan yang dipantau Jas dilakukan pada jarak 500 meter dari rumah pertama kes membabitkan mangsa pengsan dilaporkan pada malam insiden berlaku.

Katanya, sebanyak 26 sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia Zon Selatan menyertai pembersihan sungai di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, sejak pagi tadi.

"Di sepanjang anak sungai ini, kami membantu JAS Johor memasang dua oil boom dan sekatan laluan air berikutan masih terdapat sisa-sisa pencemaran toksik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:51 PM