GAMBAR fail menunjukkan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail menunjukkan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim. FOTO Arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


KERJA pembersihan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, yang tercemar dengan sisa kimia dijangka mengambil masa lebih singkat berbanding jangkaan awal.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ia terbukti apabila kawasan seluas satu kilometer (km) daripada 1.5 km Sungai Kim Kim sudah dibersihkan hingga tengah malam tadi.

“Saya ingin maklumkan kerja pembersihan kawasan tercemar berjalan lancar dengan 1 km (daripada 1.5 km) kawasan yang tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan tengah malam tadi.

“Ini kemajuan sangat baik selepas 680 meter kawasan paling tercemar dengan sisa kimia berbahaya dibersihkan petang semalam dan dijangkakan kerja pembersihan baki 500 meter berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari lagi, jika cuaca terus dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat orang ramai yang mendapatkan rawatan awal di pusat rawatan saringan dan rawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di Pasir Gudang, hari ini.

Yeo meluangkan masa kira-kira 20 minit sebelum mengadakan sidang media memberikan maklumat terkini berkaitan isu pencemaran Sungai Kim Kim.

Katanya, beliau berpuas hati dengan kerja pembersihan yang dijalankan yang berjalan dengan pantas dan penuh waspada oleh petugas serta kontraktor dilantik.

Media semalam melaporkan, sepanjang 680 meter Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang yang tercemar akibat buangan sisa kimia sudah dibersihkan.

Lokasi itu adalah kawasan yang paling tercemar susulan pembuangan sisa bahan kimia di sungai itu pada 7 Mac lalu.

Sebanyak 250 ‘jumbo beg’ berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan dalam operasi bermula kelmarin dan akan dilupuskan di kilang yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Yeo dipetik sebagai berkata, seramai 90 petugas melakukan kerja-kerja pembersihan membabitkan kontraktor dilantik JAS dan agensi berkaitan selama 24 jam sehari.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 11:16 AM