KEADAAN Sungai Kim Kim didapati tercemar dengan sisa daripada premis bukan industri hingga mengakibatkan pencemaran bau di sekitar perkampungan berhampiran. FOTO ihsan JAS
KEADAAN Sungai Kim Kim didapati tercemar dengan sisa daripada premis bukan industri hingga mengakibatkan pencemaran bau di sekitar perkampungan berhampiran. FOTO ihsan JAS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Misteri pencemaran bau yang dialami penduduk Kampung Bukit Pulai di sini pada Rabu lalu terjawab apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan kegiatan pelepasan air sisa daripada premis bukan industri di Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian pada 10 malam pada 28 Julai lalu, penduduk berhampiran Kampung Bukit Pulai di sini mendakwa terdapat bau busuk dan dikhuatiri menambah lagi tekanan penduduk ketika pandemik Covid-19 ini.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, susulan aduan diterima daripada penduduk, pasukan dari Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim Dalam, Kampung Bukit Pulai untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai berwarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan seperti aduan diterima.

"Pada keesokan harinya (29 Julai) pasukan dari Cawangan Pasir Gudang menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan pemantauan menerusi dron dijalankan bagi mengenalpasti punca yang disyaki menyebabkan pencemaran terbabit.

"Pengukuran kualiti air sungai juga dijalankan oleh Unit Pengawasan dari JAS di beberapa lokasi di sepanjang sungai terbabit.

"Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa dari premis bukan industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan, premis itu sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.

"Persampelan dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Premis diminta menjalankan langkah pembaikan segera dan Pihak Berkuasa Tempatan dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Selepas dua tahun mengalami pencemaran teruk akibat pelepasan sisa toksik sehingga menjadi tajuk utama media dan menarik perhatian seluruh negara, Sungai Kim Kim kembali tercemar.

Dalam insiden dikesan pada 7 Mac 2019, penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah di kawasan itu diserang sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:21 PM