Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti pencemaran yang menyebabkan air Sungai Kim Kim kerap bertukar hitam kebelakangan ini, berpunca daripada pelepasan air sisa daripada aktiviti premis di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air ( KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bukan pembuangan buangan berjadual (scheduled waste) seperti insiden pencemaran sisa toksik yang berlaku dua tahun lalu.

Katanya, ketika anggota JAS tiba di tempat kejadian semalam bagi menyiasat dan mendapati tiada tompokan minyak serta bau busuk seperti yang didakwa penduduk berikutan hujan lebat sehari sebelumnya.

"Penerbangan dron juga dijalankan di sekitar kawasan berkenaan dan penguat kuasa JAS menyusuri Sungai Kim-Kim untuk melihat sebarang punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran, bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan pencemaran.

"JAS mengesyaki sisa kumbahan selain sisa buangan bukan toksik pelbagai premis. Bahan sebenar tidak dapat dikenal pasti kerana hujan lebat menyebabkan sisa pencemaran hilang dan sampel sebenar tidak dapat diperoleh," katanya.

Katanya, pihaknya mohon supaya penduduk atau sesiapa saja yang ternampak kesan pencemaran terutama di sungai supaya segera hubungi JAS bagi membolehkan siasatan dilakukan serta-merta dan yang paling utama, bukti pencemaran tidak hilang bagi membolehkan puncanya dikenal pasti serta mengelak selain pencemaran bertambah kritikal.

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor membuat pemantauan dan meninjau kawasan di Sungai Kim Kim selepas menerima aduan penduduk keadaan air di Sungai Kim Kim berubah warna dan mengeluarkan bau di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor membuat pemantauan dan meninjau kawasan di Sungai Kim Kim selepas menerima aduan penduduk keadaan air di Sungai Kim Kim berubah warna dan mengeluarkan bau di Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed

"Kementerian memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis termasuk kilang yang melepaskan apa jua sisa ke sungai sewenang-wenangnya dan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung lesen operasi dan mengheret mereka ke mahkamah.

"Kita tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana kilang yang melakukan pencemaran," katanya pada sidang media selepas meninjau projek pengindahan Denai Sungai Kim Kim di sini, hari ini.

Semalam, JAS Johor dilaporkan mengesyaki pembuangan sisa kimia lebih besar berlaku di Sungai Kim Kim ketika ini berbanding insiden pencemaran sisa toksik yang berlaku di situ, dua tahun lalu.

Pengarahnya, Dr Famey Yusoff, dilaporkan berkata kesimpulan awal itu dibuat berdasarkan maklumat penduduk Kampung Bukit Pulai yang melaporkan kejadian air sungai berkenaan bertukar hitam berlaku sejak sebulan lalu.

Ketika ditanya tindakan JAS bagi memastikan Sungai Kim Kim tidak terus tercemar, Tuan Ibrahim berkata pihaknya akan terus memantau sungai berkenaan bagi memastikan insiden dua tahun lalu tidak berulang semula.

"Sebenarnya Sungai Kim Kim diletakkan sebagai keutamaan JAS Johor termasuk untuk pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pencemaran kritikal berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:24 PM