Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Sebuah loji kumbahan berhampiran Sungai Kim Kim, di sini, didakwa menjadi punca utama yang menyebabkan air Sungai Kim Kim berubah warna kehitaman dan berbau busuk, sejak Rabu lalu.

Ketua Kampung Bukit Pulai Zulkifly Kassim berkata, pencemaran yang berlaku lima hari lalu disebabkan pembuangan air kumbahan tidak dirawat ke sungai itu.

Menurutnya, penduduk mula menyedari berlakunya pembuangan air sisa kumbahan di Sungai Kim Kim sejak setahun lalu.

Katanya, ia menyebabkan insiden air Sungai Kim Kim bertukar kehitaman dan berbau busuk berlaku beberapa kali sejak tahun lalu.

"Penduduk tahu pencemaran di Sungai Kim Kim berpunca daripada air sisa kumbahan yang tidak dirawat, berikutan warna air dan bau busuknya yang sama dalam beberapa insiden sebelum ini, yang disahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai air kumbahan.

"Walaupun pencemaran air sisa kumbahan ini tidaklah memberi kesan teruk kepada penduduk berbanding insiden pembuangan sisa toksik beberapa tahun lalu, ia tetap membuatkan kehidupan penduduk terjejas.

"Penduduk dimaklumkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan terutama warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak berisiko mendapat kesan kesihatan jika terlalu lama menghidu bau itu malah pendapatan nelayan kecil terjejas kerana hidupan air lari ke kawasan lain," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, hasil pemantauan penduduk kampung sejak tahun lalu, air sisa kumbahan akan dilepaskan ketika malam atau hujan lebat bagi mengaburi mata penduduk serta pihak berkuasa.

"Namun kali ini dalangnya tersilap langkah kerana Rabu lalu tidak hujan menyebabkan penduduk dapat lihat air bertukar hitam dan menghidu bau amat busuk sebelum membuat laporan kepada JAS," katanya.

PENDUDUK melihat keadaan terkini Sungai Kim Kim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENDUDUK melihat keadaan terkini Sungai Kim Kim. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Hari ini media melaporkan, sebuah premis bukan industri di Pasir Gudang, di sini, diarahkan menghentikan pelepasan tidak terawat dengan serta-merta ke Sungai Kim Kim, yang menyebabkan sungai itu tercemar semula dan berbau busuk, sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan, dilaporkan berkata, pengendali premis berkenaan juga sudah diarahkan menjalankan langkah pembaikan segera bagi memastikan kualiti air Sungai Kim Kim tidak lagi dicemari.

Siasatan susulan yang dijalankan mendapati premis berkenaan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan berlakunya pelepasan air sisa buangan tanpa dirawat mengalir memasuki Sungai Kim Kim.

Sementara itu, tinjauan di kawasan hulu Sungai Kim Kim yang terletak di Kampung Bukit Pulai mendapati keadaan air sungai itu kembali ke asal selain bau busuk juga sudah hilang.

Ia disebabkan hujan lebat lebih tiga jam sejak 7 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor Dr Famey Yusoff ketika dihubungi berkata, seramai empat penguat kuasa JAS termasuk dron dihantar ke Sungai Kim Kim bagi penyiasatan selepas menerima aduan penduduk, malam Rabu lalu.

"Dalam masa kira-kira satu jam menyusuri Sungai Kim Kim sepanjang kira-kira 13 kilometer itu, penguat kuasa JAS berjaya mengesan sebuah premis bukan industri yang menjadi suspek utama pembuangan sisa buangan berkenaan.

"Sampel sisa buangan juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk mengetahui bahan sebenar yang mencemarkan Sungai Kim Kim bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil segera kepada pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 4:52 PM