Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan dalam e-bazar bagi menggantikan bazar Ramadan yang tidak akan diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibawa dalam Mesyuarat Kabinet esok.

Menurutnya, SOP itu bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat yang beranggapan pesanan makanan dibuat secara atas talian namun perlu diambil daripada peniaga.

“Konsep e-bazar adalah pesan dan hantar. Sebab ada yang beranggapan pesan dan perlu ambil (makanan) di bazar dan mungkin akan menyebabkan pergerakan yang ramai dan berlaku kesesakan.

“Ideanya (e-bazar) supaya rakyat tidak keluar (ke bazar Ramadan) dan akhirnya akan menyukarkan polis kerana ada yang akan beri alasan untuk ambil makanan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan memutuskan tiada bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP.

Ketetapan itu dibuat bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.



Dalam pada itu, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan pemantauan Skim Kawalan Harga Maksimum esok sepanjang tempoh PKP fasa tiga dilaksanakan.

Katanya, pemeriksaan khas itu dijalankan bagi memastikan harga 12 barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran dengan harga terkawal dan mencukupi.

“Ingin saya tegaskan bekalan makanan masih mencukupi walaupun PKP fasa tiga akan bermula esok,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan kementerian sama di Singapura untuk memastikan jumlah rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air terkawal.

Katanya, kerajaan menetapkan 250 hingga 300 rakyat Malaysia yang akan dibenarkan pulang sehari bagi mengelakkan kesesakan di Tambak Johor.

“Kerajaan tiada halangan untuk rakyat Malaysia pulang susulan peningkatan kes di Singapura.

“Jika sebelum ini jumlah keluar masuk antara 1,900 hingga 2,000 sehari namun kini hanya terhad kepada perkhidmatan logistik dari Johor ke Singapura.

“Kemasukan rakyat perlu dikawal untuk memastikan kerajaan dapat menyediakan pusat kuarantin yang mencukupi bagi menampung jumlah mereka yang perlu menjalani kuarantin wajib,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 4:53 PM
    Ismail Sabri Yaakob bercakap semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
    Ismail Sabri Yaakob bercakap semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA