DATUK Rozali Mohamud ketika sidang media menerangkan pelaksanaan e-Bazar Ramadan MBSP di Ibu Pejabat MBSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam . FOTO Nur Izzati Mohamad
DATUK Rozali Mohamud ketika sidang media menerangkan pelaksanaan e-Bazar Ramadan MBSP di Ibu Pejabat MBSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam . FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


PELAKSANAAN e-Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tetap diteruskan kerana didapati tidak bercanggah dengan keputusan diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, konsep e-Bazar Ramadan yang diperkenalkan tidak membabitkan kontak secara langsung dengan pembeli, peniaga dan perkhidmatan penghantaran.

Menurutnya, pihaknya memberi jaminan bahawa tiada aktiviti penjualan secara fizikal mahupun dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Beberapa kali saya meneliti kenyataan Menteri Kanan Keselamatan dan apa yang saya dapati pelaksanaan e-Bazar Ramadan MBSP ini tidak bercanggah sama sekali dengan apa yang dimaksudkan.

“Namun, surat kelulusan untuk melaksanakannya belum dikeluarkan, dan sekiranya apa yang dilakukan MBSP bertentangan maka kami akan mengikut arahan kerajaan kerana isu keselamatan untuk memutuskan rantaian Covid-19 menjadi keutamaan,” katanya pada sidang media di Bukit Mertajam, hari ini.

Rozali berkata, konsep e-Bazar Ramadan MBSP bermula dengan pembeli membuat pesanan sebelum penjual menghantar tempahan ke pusat pengumpulan dan ia akan dihantar oleh syarikat penghantaran berdaftar kepada pembeli.

“Dalam portal ini, kita mengehadkan bilangan peniaga yang mana kita hanya memilih 30 peniaga kecil yang tiada premis perniagaan sahaja jika mereka mematuhi syarat ditetapkan.

“Apa yang yang dilakukan MBSP adalah projek rakyat demi membantu peniaga kecil memperoleh sedikit pendapatan untuk meneruskan hidup,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melancarkan portal e-Bazar Ramadan MBSP bagi membantu peniaga yang terjejas untuk menjana pendapatan sepanjang Ramadan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 4:21 PM