FAIZAL (depan tengah) bersama kakitangan bersemangat memerangi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
FAIZAL (depan tengah) bersama kakitangan bersemangat memerangi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin

SELAIN e-bazar secara dalam talian, pihak Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) juga memperkenalkan konsep Berniaga dalam Restoran (BdR) bagi membantu semua golongan peniaga dapat menjual juadah berbuka puasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena Ramadan ini.

Yang Dipertua MDTM Faizal Nizam Md Nor berkata, jika peniaga menggunakan perniagaan e-bazar maka secara tidak langsung mereka perlu menyediakan perkhidmatan penghantar makanan ke rumah.

Menurutnya, BdR pula disasarkan kepada peniaga kecil yang terdiri penjual kuih atau lauk secara kecil-kecilan, di mana mereka boleh menghantar makanan itu ke restoran mengikut pilihan mereka sendiri.

"Mereka hanya perlu menghantar makanan tetapi yang menjual makanan itu adalah pemilik restoran dan dengan ini diharapkan dapat membantu peniaga kecil itu menjana pendapatan pada Ramadan.

"Orang ramai boleh datang membeli juadah berbuka di restoran itu tetapi mesti mematuhi jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, kaedah pembelian menggunakan penghantar makanan adalah digalakkan ," katanya ketika ditemui di pejabat MDTM hari ini.

Faizal Nizam berkata, diharapkan dapat membantu peniaga bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP masih berpeluang untuk menjual juadah berbuka selain berniaga melalui e-bazar.

Menurutnya, pengenalan dua konsep perniagaan itu ketika Ramadan dalam tempoh PKP memberi peluang sama rata kepada semua golongan peniaga terutama kepada yang tidak mahir selok-belok perniagaan secara dalam talian.

"Sekarang terpulang kepada peniagaan untuk memilih cara jualan mereka ketika Ramadan, semua peniaga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan syarat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi perniagaan e-bazar, pihak MDTM menerima 72 permohonan daripada penghantar makanan dan 52 peniaga yang mendaftar setakat ini," katanya.

Beliau berkata, penghantar makanan perlu mendaftar dengan pihak MDTM selepas membuat saringan kesihatan daripada klinik kerajaan atau swasta.

Menurutnya, MDTM akan mengeluarkan atau memberikan pas kelulusan untuk mereka beroperasi sebagai penghantar makanan mengikut masa yang dibenarkan iaitu bermula 3 petang hingga 7 malam sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 3:10 PM