Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN memutuskan bahawa kaedah e-bazar iaitu membuat pesanan makanan secara dalam talian menggunakan kemudahan e-hailing saja dibenarkan setakat ini.

Kaedah e-bazar itu menggantikan bazar Ramadan tahun ini manakala kaedah lain masih dalam peringkat untuk diperhalusi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan mengenai e-bazar dan yang dibenarkan hanya pesanan secara dalam talian dan dihantar ke rumah melalui syarikat e-hailing.

Menurutnya, ada dua konsep lain dicadangkan iaitu membuat pesanan melalui panggilan dan mengambilnya di gerai disediakan.

“Konsep kedua pula menggunakan cara pandu lalu namun pihak Kabinet meminta perkara ini diperhalusi kerana kebimbangan jumlah kenderaan apabila konsep pandu lalu diperkenalkan.

“Kita percaya ramai akan keluar serentak dan jumlah kenderaan akan bertambah malah jika dibenarkan untuk pandu lalu atau ambil produk itu dibimbangi akan ada alasan baru untuk keluar dari rumah sehingga menyukarkan polis kerana banyak alasan akan diberikan kepada mereka yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama

Ismail berkata, selepas ini juga mungkin melalui kawalan polis mereka hanya boleh keluar membeli barangan keperluan pada waktu pagi.

“Jadi kaedah lain itu akan diperhalusi dengan standard prosedur operasi (SOP) dan sebagainya.

“Soal beberapa negeri membuat keputusan sendiri mengenai bazar Ramadan kita ada SOP dan akan diselaraskan antara negeri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pihak majlis daerah ada kuasa sendiri tetapi kerajaan meminta selepas ini ia diselaraskan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 4:16 PM