Norzamira Che Noh


KERAJAAN negeri Selangor akan meneruskan konsep jual beli secara e-bazar sepanjang Ramadan ini dengan memastikan penjarakan sosial dilakukan dalam pelbagai keadaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya yakin konsep berkenaan boleh diteruskan di Selangor tetapi perlu mengekalkan disiplin serta kawalan sedia ada.

“Jika kita benarkan restoran untuk beroperasi bagi tempahan dan hantar jadi kenapa kita tidak boleh benarkan bazar yang konsep lebih tersusun serta terkawal?

“Menerusi e-bazar, kita tidak akan membenarkan pembelian terus (walk in) sebaliknya kita akan sediakan dapur berpusat (central kitchen) untuk pengumpulan (juadah) manakala pengambilan dan penghantaran akan dilakukan oleh syarikat e-panggilan,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, 15 lokasi sudah dikenal pasti untuk dijadikan dapur berpusat.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai kesesuaian lokasi berkenaan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan beberapa syarikat e-panggilan supaya ia memberi ruang yang adil selain turut memastikan akan ada beberapa limitasi dalam penghantaran serta masa untuk menghantar makanan.

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media Sumbangan Kutipan Derma dari Program Selangor Cyber Games 2020 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media Sumbangan Kutipan Derma dari Program Selangor Cyber Games 2020 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal

“Walaupun kerajaan negeri melaksanakan e-bazar, kita tidak dapat menampung semua peniaga bazar Ramadan kerana terdapat limitasi daripada segi logistik.

“Pembeli juga tidak boleh mengharapkan e-bazar ini seperti bazar Ramadan yang kebiasaan kita pergi kerana menu yang akan disediakan lebih terhad dan sekadar memenuhi permintaan pembeli,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan kaedah pendaftaran untuk peniaga e-bazar dalam masa terdekat.

Semalam, Kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu serta tempah dan ambil dilaksanakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 1:08 PM