DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham ketika sidang media berhubung situasi semasa Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


IDEA pelaksanaan e-bazar Ramadan lebih berkesan dalam membendung penularan koronavirus baharu (Covid-19), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberi reaksi itu berikutan ada negeri membenarkan gerai Ramadan beroperasi di rumah dan bahu jalan, meskipun kerajaan sebelum ini memutuskan supaya bazar Ramadan tidak diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Noor Hisham berkata, kaedah e-bazar dilihat lebih terkawal dengan menghantar makanan ke rumah dan berupaya mengelak perkumpulan di tempat awam.

Beliau berkata, ia antara teknologi yang boleh diguna pakai ketika ini, tambahan pula sudah ramai menggunakan penghantaran makanan.

“Masalahnya sekarang bukan bazar Ramadan. Isunya adalah pelanggan datang (ke bazar) tidak terkawal.

“Bagaimanapun banyak kaedah yang kita bincangkan antaranya melaksanakan e-bazar Ramadan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan statistik, penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus.

“Mungkin ini antara cara untuk selesaikan masalah bazar Ramadan. Kita perlu akur bahawa kelaziman dah berubah.

“Jadi kita melihat e-bazar Ramadan memenuhi kriteria KKM untuk memastikan tiada perhimpunan ramai hanya untuk membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:32 PM