CHOW Kon Yeow (kanan) melihat cara membuat pesanan makanan melalui portal e-Bazaar Ramadan yang boleh digunakan oleh penduduk Seberang Perai pada bulan Ramadan akan datang ketika majlis pelancaran portal tersebut di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai. FOTO BERNAMA
CHOW Kon Yeow (kanan) melihat cara membuat pesanan makanan melalui portal e-Bazaar Ramadan yang boleh digunakan oleh penduduk Seberang Perai pada bulan Ramadan akan datang ketika majlis pelancaran portal tersebut di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai. FOTO BERNAMA
BERNAMA

MAJLIS Bandaraya Seberang Perai (MBSP), hari ini melancarkan portal e-Bazar Ramadan bagi membantu peniaga yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 menjana pendapatan sepanjang Ramadan ini.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata, portal terbabit akan mengumpulkan laman sesawang, laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp di seluruh Seberang Perai.

Katanya, ia bakal menyediakan produk makanan atau bukan makanan seperti pakaian, kasut, barangan runcit serta kuih-muih keperluan raya dalam bentuk e-katalog.

“Pembeli hanya perlu memilih portal, lawan sesawang, Facebook atau WhatsApp untuk memesan juadah atau barangan yang diingini dan peniaga akan mengaturkan khidmat penghantaran pesanan.

“Jika peniaga tidak menyediakan khidmat penghantaran, pembeli boleh memilih khidmat penghantaran yang juga disediakan dalam e-katalog ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran portal itu oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Menara Bandaraya MBSP di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata, ‘collection point’ perlu dibuat mengikut konsep prapesanan, pesan hantar (dropship) dan penghantaran dengan waktu operasi bermula dari 12 tengah hari hingga 7 malam serta dijalankan di dalam kawasan berpagar atau dalam bangunan dan pengambilan di tepi jalan tidak dibenarkan.

Menurutnya, selain itu, MBSP turut menjalin kerjasama strategik dengan GrabFood apabila mewujudkan konsep ‘Cloud Kitchen’ iaitu pembeli boleh membuat pesanan juadah berbuka puasa yang disenaraikan dalam aplikasi Grab.

“Lokasi adalah di Kompleks Makanan Taman Pauh Indah, 20 peniaga akan dipilih. Peniaga tidak perlu membayar apa-apa kecuali komisen jika ada jualan.

“GrabFood sudah bersetuju memberi diskaun istimewa iaitu 20 peratus daripada jualan (kadar normal sehingga 35 peratus) kerana ini adalah projek rakyat MBSP,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata, portal e-Bazar Ramadan itu bagi memudahkan penduduk Seberang Perai mendapatkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa ketika Ramadan melalui kolaborasi dengan syarikat-syarikat penghantaran makanan.

“Portal e-Bazar Ramadan boleh diibaratkan seperti pusat sehenti bagi penjaja di Seberang Perai. Hanya dengan satu paparan, pembeli boleh memperoleh senarai nama restoran atau menu makanan tanpa perlu keluar dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 9:53 PM