IMAM Masjid Negara, Muhammad Afif Jamal mengimam solat fardu Zohor bersama bilal di Masjid Negara. Suasana lengang di Masjid Negara dari segala aktiviti termasuk Solat Jumaat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
IMAM Masjid Negara, Muhammad Afif Jamal mengimam solat fardu Zohor bersama bilal di Masjid Negara. Suasana lengang di Masjid Negara dari segala aktiviti termasuk Solat Jumaat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


TABUNG masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan digunakan bagi membantu anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagi menyebarluaskan misi #MusaadahCovid19 agar dapat diraikan secara saksama, beliau mengarahkan Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memanfaatkan tabung masjid bagi membantu anak-anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga diminta menyelaraskan perkara ini di semua masjid dan surau diri jumaat dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Saya amat meraikan sekiranya hal ini disambut baik semua pihak yang terbabit. Bagi pelaksanaan perkara ini di peringkat negeri, ia diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, kebajikan umat Islam di Wilayah Persekutuan sepanjang PKP sentiasa menjadi prioritinya.

“Beberapa usaha telah dilaksanakan melalui misi #MusaadahCovid19 yang memfokuskan asnaf dari Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang sudah dikenal pasti.

“Disamping itu, kebajikan petugas barisan hadapan (frontliners) tanpa mengira agama dan bangsa serta keperluan hospital di Wilayah Persekutuan juga tidak diketepikan,” katanya.

Sebanyak 88 masjid dan 109 surau diri jumaat di Wilayah Persekutuan bersedia membantu anak kariah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:19 PM