Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jumlah jemputan bagi majlis akad nikah tidak boleh melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter bergantung kepada keluasan premis yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, premis itu merangkumi pejabat agama dan juga masjid terpilih oleh jabatan berkenaan.

Menurutnya, kehadiran jurufoto adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam senarai 30 jemputan, tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"SOP ini berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan bermula esok, manakala untuk negeri-negeri lain, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Walaubagaimanapun, untuk tujuan penyelarasan, adalah disarankan negeri-negeri untuk mengikut resolusi yang dicapai bersama dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI kali ke-9, baru-baru ini," katanya pada sidang media Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Peluasan Kapasiti Solat Jumaat, hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Zulkifli berkata, pada masa sama, beliau ingin menyampaikan luahan segelintir anak kariah setempat apabila mahu pihak jawatankuasa masjid dan surau agar lebih mengutamakan pendekatan bersesuaian ketika menegur jemaah yang terlupa membawa sejadah atau pelitup muka.

"Saya percaya, hal-hal sebegini boleh diselesaikan dengan baik. Mungkin pihak jawatankuasa masjid dan surau boleh sediakan sejadah dan pelitup muka bagi mereka yang terlupa untuk membawanya.

"Kadang-kadang, kita tergesa-tergesa, memang biasa tertinggal barang yang penting. Besar pahalanya bagi mereka yang memudahkan urusan umat Islam lain untuk beribadah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 4:40 PM