GAMBAR hiasan. FOTO Luqman Hakim Zubir
GAMBAR hiasan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Solat Jumaat dan fardu akan dibenarkan di semua surau serta masjid di Wilayah Persekutuan, mulai esok, termasuk solat Aidiladha.

Kebenaran itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bagi masjid di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 300 jemaah dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Katanya, seramai 100 jemaah dibenarkan di lapan masjid pusat zon, iaitu Masjid Al-Imam Al- Ghazali di Bandar Manjalara, Kepong; Masjid Salahuddin Al-Ayyubi (Taman Melati, Setapak); Masjid Al-Imam Ash-Shafie (Jalan Perkasa, Maluri); Masjid Usamah Bin Zaid (Wangsa Maju); Masjid Al-Muqarrabin (Bandar Tasik Selatan); Masjid Ar-Rahman (Jalan Pantau Baru); Masjid Mahmoodiah (Putrajaya) dan Masjid Jamek An-Nur di Labuan.

Sementara itu, beliau berkata, bagi masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 jemaah, manakala surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat dibenarkan seramai 40 orang.

"Bilangan jemaah di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 12 orang.

"Ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa Jumaat (esok)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ajib berkata, bagi solat fardu di kawasan PKP, seramai 100 jemaah dibenarkan mendirikan solat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Katanya, bagi lapan masjid pusat zon pula dibenarkan seramai 50 orang.

"Bilangan jemaah di masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan seramai 30 orang.

"Seramai 20 orang jemaah dibenarkan solat fardu di surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat.

"Solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua surau dibenarkan seramai 12 jemaah," katanya.

Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Mohd Ajib berkata, solat fardu dibenarkan terhad kepada tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 1:19 PM