Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling


SEMUA masjid, surau jumaat dan surau dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bermula esok.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memaklumkan perkara itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

Katanya, cadangan perluasan kapisiti solat Jumaat dan solat jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan diangkat untuk perkenan baginda.

"Alhamdulillah Seri Paduka menzahirkan titah perkenan bagi cadangan itu.

"Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama. Ini bermula dengan solat Jumaat pada 12 Jun bersamaan 20 Syawal 1441H.

"Sebagai contoh jika dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa maka bilangan yang dibenarkan ialah 333 orang buat masa ini," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Zulkifli berkata, jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Menurutnya, sistem penggiliran atau apa cara yang sesuai pada hemat jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.

"Kapasiti ini akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya juga maklum jauh di sudut hati wanita-wanita di luar sana, teringin untuk kembali beribadah di rumah Allah SWT. Berita gembira buat semua Muslimah, anda juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram anda," katanya.


Katanya, tiada had umur ditetapkan dan warga emas boleh hadir ke masjid dengan syarat sihat manakala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun serta mereka yang mempunyai penyakit tidak dibenarkan ke masjid.

Menurutnya, masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan pemandu perkhidmatan e-hailing.

Dr Zulikifli berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 4:22 PM