FOTO hiasan
FOTO hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengadakan Program Musa'adah Perdana Ibadah Korban sempena Aidiladha tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata, program julung kali diadakan itu dilaksanakan dengan kerjasama masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, program itu sebagai tanda kesyukuran atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan.

Katanya, setiap masjid yang menyertai program itu bertanggungjawab menguruskan pengagihan daging korban kepada golongan sasaran ditentukan iaitu peserta, asnaf, petugas barisan hadapan, anak kariah dan umat Islam di Wilayah Persekutuan.

"Semoga inisiatifini dapat meringankan beban pelbagai kelompok dalam kalangan masyarakat yang memerlukan sepanjang pandemik Covid-19 dan mengalu-alukan inisiatif sama diadakan oleh pihak agama di negeri lain," katanya pada sidang media khas prosedur operasi standard (SOP) Ibadah Korban menerusi Facebooknya semalam.

Aktiviti ibadah korban seluruh negara dibenarkan dengan bersyarat bermula pada Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik bermula jam 6 pagi hingga 6 petang dengan had kehadiran tidak melebihi 10 peserta termasuk petugas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:43 PM