Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bagi tahun ini (1442H/2021M).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kadar itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, kadar wajib adalah RM5 yang ditetapkan bagi meringankan beban umat Islam kurang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah sewaktu pandemik Covid-19 masih melanda ketika ini.

"Dua lagi kadar adalah RM7 dan RM14 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan serta ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras dimakan. Ini bagi kategori orang yang lebih kelapangan harta.

"Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan.

"Zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi amil dilantik MAIWP di kaunter kutipan pelbagai lokasi sekitar Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan majlis penyampaian bantuan Ihya' Ramadan bagi pengimarahan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, pengumuman kadar zakat fitrah, watikah pelantikan Ketua Amil dan amil zakat fitrah tahun 2021/1442, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail merangkap Setiausaha MAIWP.

DR Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
DR Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO Fariz Iswadi Ismail.

Pada majlis itu, Zulkifli menyerahkan watikah pelantikan seramai 73 Ketua Amil dan 836 Amil.

Beliau berkata, selari dengan norma baharu, MAIWP turut memperkenalkan kaedah pembayaran secara dalam talian yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MAIWP iaitu www.maiwp.gov.my

"Pelbagai platform pembayaran disediakan antaranya ePay MAIWP, SnapNPay, e-wallet Boost, JomPAY, dan melalui laman sesawang fitrah.zakat.com.my.

"Sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), MAIWP juga menggalakkan pembayaran tanpa tunai kepada amil iaitu setiap amil akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan peruntukan dana zakat sebanyak RM9.23 juta untuk aktiviti imarah 790 masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Zulkifli berkata, program Dapur It'am Ramadan dimulakan tahun lalu kerjasama MAIWP dan Jawi untuk pemberian kepada kariah masjid dan surau yang memerlukan, diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM2.1 juta.

"Sumbangan ini disalurkan kepada 24 masjid dan 46 surau terpilih di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Selain diagihkan kepada kariah setempat, makanan bermasak ini turut diagihkan untuk petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan, petugas kebersihan dan golongan pemandu e-hailing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 10:53 AM
ZULKIFLI menyampaikan replika cek Bantuan Ihya Ramadan bernilai RM9,230,500 kepada wakil masjid dan surau Wilayah Persekutuan, Pengarah Jawi merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah, Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai eksekutif (Operasi), Mohd Nizam Yahya (kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail
ZULKIFLI menyampaikan replika cek Bantuan Ihya Ramadan bernilai RM9,230,500 kepada wakil masjid dan surau Wilayah Persekutuan, Pengarah Jawi merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah, Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai eksekutif (Operasi), Mohd Nizam Yahya (kanan). FOTO Fariz Iswadi Ismail