M Busra bersama isteri dan anaknya di rumah usang dibina semula di tapak asal selepas dihanyutkan banjir pada Disember 2014 di tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim.
M Busra bersama isteri dan anaknya di rumah usang dibina semula di tapak asal selepas dihanyutkan banjir pada Disember 2014 di tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


KEHIDUPAN 10 beranak amat daif apabila terpaksa mencatu makanan dan makan sekali sehari di rumah usang di tanah rizab tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga, Gua Musang.

Keluarga itu tinggal di rumah dibina sendiri daripada kayu dan zink terbuang dihanyutkan banjir selepas kejadian banjir besar pada Disember 2014 lalu.

M Busra Mohamed, 50, mengakui dia tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana pendapatannya bergantung kepada upah menoreh getah sekitar RM600 sebulan.

Katanya, keadaan itu bergantung kepada cuaca dan pernah tidak memperoleh pendapatan dua bulan pada akhir tahun lalu kerana hujan berterusan.

Dia berkata, berikutan itu anaknya tidak dibenarkan makan nasi tiga kali sehari, sebaliknya hanya makan nasi sekali pada tengah hari sahaja.

“Untuk sarapan, kami minum teh ‘O' dicicah bersama biskut kering dan mereka sudah biasa dengan keadaan itu.

“Isteri saya, Siti Suhaiziah Ramli, 41, tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga lapan anak berumur satu hingga 14 tahun.

“Malah empat anak yang bersekolah iaitu tiga di sekolah rendah dan seorang sekolah menengah tidak membawa wang saku,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu menyewa rumah dan terpaksa membina semula rumah di tapak asal yang runtuh dilanda banjir besar pada 2014.

“Lebih penting bagi keluarga saya adalah mendapat bantuan rumah bagi meneruskan kelangsungan hidup dan ingin menikmati hidup selesa.

“Soal catu makan itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami hingga ada kalanya saya bersama isteri kerap berpuasa berikutan makanan hanya cukup untuk anak sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarganya boleh menghubungi talian 011-36550930.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 3:12 PM