NAPI di hadapan rumahnya yang uzur.
NAPI di hadapan rumahnya yang uzur.
HM Digital

Kuala Krai: Dua beranak yang hidup serba daif terpaksa bertahan menghuni rumah yang semakin reput dan uzur di Kampung Berangan, Dabong, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Napi Yusoff, 65, mendakwa dia tidak pernah menerima bantuan membaiki rumah walaupun puas memohon.

Katanya, kediaman itu tenggelam dalam banjir pada Disember 2014 dan tidak menerima perhatian sewajarnya daripada mana-mana pihak.

Dia yang menghidap penyakit asma sukar melakukan pekerjaan dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Kediaman itu dihuninya bersama anak perempuan berusia 18 tahun yang menuntut di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong.

“Bukan hanya dinding rumah reput, lantai pun sama, selain atap zink bocor. Saya tidak mampu untuk membaikinya.

“Hendak makan pun terpaksa catu kerana wang bantuan digunakan untuk persekolahan anak. Ada kalanya kami makan nasi kosong dengan budu serta telur saja.

“Saya sendiri buntu dan tidak tahu hendak minta tolong siapa lagi sekurang-kurangnya untuk baiki rumah ini sebelum ia roboh atau beri sedikit perbelanjaan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:21 AM