M Busra (empat dari kanan) isteri dan anak bergambar dengan Mohd Syahbuddin apabila berpindah kerumah baharu yang lebih selesa. FOTO Ramli Ibrahim
M Busra (empat dari kanan) isteri dan anak bergambar dengan Mohd Syahbuddin apabila berpindah kerumah baharu yang lebih selesa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kehadiran Aidilfitri pada minggu depan amat bermakna bagi 10 beranak apabila dapat membuat persiapan di rumah baharu di Kampung Lembaga, di sini.

Ini apabila mereka berpindah ke rumah Program Bantuan Rumah (PBR) yang dibina Lembaga Kemajuan Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

M Busra Mohamed, 50, berkata sebelum ini dia bersama isteri dan lapan anak menyambut Aidilfitri di rumah separuh reput di tepi sungai di kampung sama.

Menurutnya, ada kalanya persiapan menyambut 1 Syawal terjejas apabila hujan lebat kerana air membasahi keseluruhan dalam rumah berikutan atap bocor.

"Kami menghadapi situasi itu kerana tidak mampu membina rumah baharu atau membaiki rumah sedia ada yang semakin uzur berikutan memerlukan perbelanjaan besar.

"Alhamdulillah, doa kami sekeluarga menjadi kenyataan apabila pemimpin tempatan membantu kami tinggal di rumah bantuan kerajaan.

"Kami percaya dapat membuat persiapan menyambut Aidilfitri kali ini lebih sempurna dan selesa," katanya ketika ditemui di rumah barunya, hari ini.

Sebelum itu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim untuk bertanya khabar keluarga berkenaan.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata, terdapat tujuh keluarga miskin dapat menyambut Aidilfitri kali ini dalam suasana selesa kerana dapat tinggal di rumah PBR.

Beliau berkata, sebuah daripada rumah PBR itu dibina KESEDAR manakala enam lagi dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:17 PM