FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Pelajar universiti tidak terkecuali dari turut merasa tempias kenaikan harga makanan yang didakwa meningkat susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran sehingga menyebabkan mereka perlu mencatu makanan.

Rata-rata pelajar mengakui resah dan terpaksa mengambil langkah untuk berjimat dengan 'ikat perut', langkau makan atau memilih makan mi segera sebagai alas perut.

Pelajar Sarjana Muda Semester 5 jurusan Kimia Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Iffah Nur Fasihah Laznan, 22, berkata, disebabkan harga makanan meningkat, dia perlu berbelanja sehingga RM15 sehari hanya untuk dapatkan satu pinggan makanan yang lengkap berbanding dulu.

Menurutnya, harga makanan kini berbeza dengan terdapat sesetengah kedai makan menaikkan harga makanan RM1 hingga RM2 bagi nasi lauk ayam.

"Dulu, nasi lauk ayam saja RM4. Tapi sekarang bergantung pada kedai ada RM5 ada RM6 untuk lauk nasi dan ayam. Tambahan program nasi bajet harga RM3.50 pun dah tiada jadi agak susah menampung perbelanjaan makan.

"Kalau makan dua kali sehari, sarapan kuih atau roti canai RM3, dan makan malam RM8 berlaukkan ayam goreng, kuah kari dan air manis. Tapi kalau setiap kali makan ada lauk ayam memang akan lebih dari RM10 jadi kena ganti dengan lauk murah seperti tempe atau telur," katanya.

Menurutnya, dia perlu sentiasa berjimat memandangkan peruntukan bulanan bagi makanan hanya RM300 hingga RM350.

"Ada masa saya memilih untuk langkau makan pagi serta tengah hari dan hanya makan berat waktu malam saja jadi sementara tunggu nak makan nasi waktu malam, saya akan makan biskut, roti, 'jajan' atau mi segera dulu," katanya.

Bagi pelajar sarjana muda Semester 6 jurusan Sains Matematik UiTM, Siha Khalil Aznan, 24 berkata, perbelanjaannya melonjak sehingga lebih RM15 sehari berbanding sebelum ini.

"Dulu kalau ambil lauk ayam atau ikan saya boleh dapat ayam besar, sayur, dan kuah dengan nilai RM5 saja.

"Tapi sekarang ambil lauk ayam dapat ayam bersaiz kecil seperti nak bagi semut makan, sayur sedikit dan kuah, saya kena bayar RM6 hingga RM7," katanya.

Katanya, dia sering memilih untuk tidak sarapan pagi dan makan sekali atau dua kali sehari saja akibat peningkatan harga makanan yang membebankan pelajar.

"Ada masa saya beli lauk sekali saja waktu pagi tapi akan makan sampai malam atau masak jika saya ada masa lapang memandangkan harga makanan di luar kampus mahal sedikit sebab saya menyewa di luar," katanya.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Semester 7 jurusan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya (UM), yang hanya ingin dikenali sebagai Yana, 23, berkata, baginya nilai RM10 hingga RM15 tak lari untuk menampung makan sehari dulu dan sekarang.

Liyana mengakui kenaikan harga makanan amat menyesakkan. Bagaimanapun katanya, di sering membeli makanan di kafe kampus memandangkan ia mengekalkan harga pelajar berbanding di luar.

"Saya memang catu makan jadi dua kali sehari saja di mana saya tidak akan ambil sarapan pagi tapi akan makan tengah hari nasi putih, ayam dan sayur bernilai RM5 dan makan malam nasi bujang RM2.50 yang dibeli di kafe kampus.

"Bajet untuk makanan sebulan hanya RM300 jadi kena pandai jimat dengan masak di rumah sewa sebab tahu makanan di luar mahal.

"Ada kalanya saya buat pilihan untuk puasa jadi boleh makan sekali sehari saja terus,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 4:14 PM