MOHD Syahbuddin (kanan) berbincang dengan M Busra mengenai bantuan rumah bakal diberikan. FOTO Ramli Ibrahim.
MOHD Syahbuddin (kanan) berbincang dengan M Busra mengenai bantuan rumah bakal diberikan. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


SATU keluarga 10 beranak yang hidup daif di rumah usang di tanah rizab tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga, Gua Musang, bakal menerima bantuan rumah tidak lama lagi.

Keluarga itu yang terpaksa mencatu makanan hanya sekali sehari kerana miskin dijanjikan bantuan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

M. Busra Mohamed, 50, berkata, pihak pengurusan Kesedar ada datang ke rumahnya untuk mengisi borang bantuan rumah PBR itu, seminggu lalu.

Katanya, Kesedar belum menjanjikan bila boleh diduduki berikutan baru dalam proses penyelesaian tapak rumah di tepi Jalan Gua Musang-Jeli, dekat sini.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ada agensi kerajaan datang menjanjikan bantuan rumah walaupun terpaksa menunggu lama sikit.

“Tidak kisahlah kami menunggu lama sikit, asalkan dapat bantuan rumah untuk tinggal dalam keadaan selesa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Seminggu lalu, kedaifan hidup 10 beranak itu disiarkan Harian Metro termasuk tinggal di rumah dibina dengan kayu serta zink terbuang di tapak rumah dihanyutkan banjir besar Disember 2014.

M Busra mengakui tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana pendapatannya bergantung kepada upah menoreh getah sekitar RM600 sebulan.

Dia berkata, isterinya, Siti Suhaiziah Ramli, 41, tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga lapan anak berumur satu hingga 14 tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syabuddin Hashim yang mengunjungi rumah keluarga itu berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib hidup keluarga terbabit.

Katanya, keluarga berkenaan menarik perhatian banyak pihak untuk menghulur sumbangan bagi meringankan beban ditanggung, selain mengelak mencatu makanan sekali sehari.

“Selain menghulur sumbangan, kami sudah merujuk perkara itu dengan pengurusan Kesedar supaya bantuan dapat disegerakan,” katanya.

Berita berkaitan

'10 beranak catu makan di rumah usang'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 5:06 PM