BERNAMA

TIGA lelaki Indonesia yang ditahan susulan kes tiga lelaki maut dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Ladang Chin Fatt, Gedok di Gemencheh direman seminggu bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata, ketiga-tiga suspek direman bagi melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

“Kita mendapat reman tiga suspek berusia antara 29 dan 42 tahun itu sehingga Jumaat depan untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ketiga-tiga suspek adalah penghuni rumah kongsi berkenaan dan telah direman di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, tiga lelaki Indonesia maut dalam pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah kongsi di ladang itu dan ditemui terbaring berlumuran darah di dalam sebuah bilik tidur, dalam kejadian 12.05 tengah malam.

Berita berkaitan

Tiga dibunuh di rumah kongsi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:27 PM