KEADAAN rumah kongsi di Bandar Baru Siputeh, Pusing, dimana pelarian warga Myanmar dibunuh rakan senegaranya Sabtu lalu. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN rumah kongsi di Bandar Baru Siputeh, Pusing, dimana pelarian warga Myanmar dibunuh rakan senegaranya Sabtu lalu. FOTO IHSAN PDRM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Akibat mabuk, seorang warga Myanmar dibunuh rakan senegaranya dalam pergaduhan di rumah kongsi sebuah kilang memproses barang sisa buangan plastik di Bandar Baru Siputeh, Pusing, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 9.45 malam, mangsa berusia 36 tahun yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), maut akibat ditikam pada rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula apabila berlaku pergaduhan kecil membabitkan dua lagi lelaki yang juga rakan sekerja mangsa ketika keempat-empat mereka sedang menikmati makan malam, sambil minum arak.

"Mangsa ditikam seorang daripada tiga suspek lelaki terbabit menggunakan sebilah gunting yang turut ditemui di tempat kejadian.

"Kejadian disaksikan seorang lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja kilang itu sebelum menghubungi majikan bagi memaklumkan kejadian itu yang kemudiannya membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek pertama berusia 36 tahun mengaku membunuh mangsa selepas ditahan sebaik kembali ke rumah kongsi itu pada 4 pagi, kelmarin.

Katanya, dua lagi suspek masing-masing berusia 29 dan 30 tahun ditahan di Jalan Bota-Tronoh, di sini, 8.45 malam tadi.

Katanya, penahanan ketiga-tiga suspek berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam.

Ahmad Adnan berkata, suspek utama berusia 36 tahun itu direman tujuh hari bermula pada hari tangkapan, manakala dua lagi direman tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 3:55 PM