ANTARA wanita warga asing yang diselamatkan JIM dalam serbuan di sebuah premis di Kota Kemuning, Selangor, kelmarin. FOTO ihsan JIM.
ANTARA wanita warga asing yang diselamatkan JIM dalam serbuan di sebuah premis di Kota Kemuning, Selangor, kelmarin. FOTO ihsan JIM.
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan tiga wanita warga Vietnam yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks oleh sindiket pelacuran di sebuah premis di Kota Kemuning, Selangor, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM dan Pasukan Task Force Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan menemui enam wanita warga asing terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiga warga Vietnam berusia 18 tahun menjadi mangsa eksploitasi seks sebelum diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan.

“Kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun bersama teman wanitanya yang juga warga Vietnam serta seorang wanita warga Myanmar yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis selain berperanan menguruskan aktiviti pelacuran di premis berkenaan.

“Ketiga-tiga Individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kami turut menahan tiga lagi pelacur terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia kerana melakukan kesalahan atas Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berhubung aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan mereka bagi memastikan tindakan penguatkuasaan undang-undang dapat dilakukan dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:44 PM