BALAK yang tergolek di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara dekat Gua Musang. FOTO ihsan pembaca
BALAK yang tergolek di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara dekat Gua Musang. FOTO ihsan pembaca
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: "Kami mohon orang ramai tolong doakan adik saya supaya kembali sedar dan segera sembuh," kata Ujiriah Kamaruzaman, 41.

Ujiriah adalah kakak kepada Siti Norelyana Kamaruzaman, 21, yang cedera parah selepas dirempuh balak yang tergolek di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara dekat Gua Musang, jam 11.23 pagi, Selasa lalu.

Menurutnya, Siti Norelyana yang juga anak kesepuluh daripada 12 beradik adalah seorang yang sangat kuat untuk melawan kesakitan.

"Alhamdulillah, keadaan adik stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Doktor memaklumkan akan buat pembedahan membuang buah pinggang yang rosak sebelah, tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.

"Namun, setakat ini doktor perlu menunggu sehingga keadaan adik baik sebelum menjalani pembedahan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, adiknya itu bekerja sebagai jurujual di bandar Gua Musang dan dalam perjalanan ke tempat kerja ketika kejadian itu.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, penyambung atau cakera putar (turn table) pada lori yang patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum merempuh seorang penunggang motosikal wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 12:43 PM