KONSERT ulang tahun New Boyz ke-25 di Planery Hall KLCC, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
KONSERT ulang tahun New Boyz ke-25 di Planery Hall KLCC, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok mengaku tidak dapat menahan sebak kerana hasrat beraksi di pentas berprestij, Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tercapai malam tadi sempena meraikan ulang tahun ke-25 kumpulan itu.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, persembahan berlangsung di pentas sangat gah kerana ramai artis ternama tempatan dan antarabangsa sudah mengadakan konsert di lokasi sama sebelum ini.

"Saya berasa sebak dan tak sangka kumpulan New Boyz boleh berada di pentas yang sama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain yang pernah mengadakan konsert di dewan berkenaan.

"Saya juga bersyukur dan bangga dengan sokongan dari peminat setia kerana konsert ini 'sold out' dan berjaya menarik seramai 3,000 penonton.

"Pada masa sama, saya juga sangat hargai peminat yang sentiasa menyokong 25 tahun pembabitan New Boyz dari zaman sekolah, bekerja dan berkahwin serta sudah ada anak pun masih sanggup datang beri sokongan dan tinggalkan anak di rumah sekejap," katanya kepada Harian Metro.

Selain Tomok, New Boyz turut dianggotai Lan (gitar), Zimi (gitar), Afiez (gitar), Zack (bass) dan Ristoe (dram).

Tidak dapat dinafikan, Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur yang berlangsung malam tadi bukan sahaja mengimbau nostalgia sekali gus meninggallan memori terindah buat peminat setia kumpulan itu.

Dalam persembahan selama tiga jam tanpa henti, Tomok memukau penonton dengan rangkaian 28 lagu hits kumpulan itu.

Antaranya, Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Lukamu Lukaku Jua, Hadir di sisi, Dia, Ke Puncak Impian, Persis Kejora, Hiasan Di Laman Rindu, Lolita, Bicara Tentang Setia, Iye Iye Iyo, Sarena Cintaku, Kejora, Kau Abadi Selamanya dan Norkia, 

Selain lagu Akulah Bakawali, Khilaf, Berilah Jawapan, Cuba Cuba, Hanya Tinggal Sejarah, Cinta Ciptaan Kita, Putus, SMS, Nurmafisa, Marah Bukan Sifatku, Qyiam, Habis Manis Sepah Dibuang dan Kau Bernama Cinta.

Pada malam itu, Tomok turut menampilkan persembahan duet dengan penyanyi popular Siti Nordiana menerusi lagu duet terbaru mereka berjudul Memori Mungkin Berulang dan turut mendapat sorakan dari penonton.

Tidak ketinggalan, penampilan anaknya Arrian Shah Akid, 12 tahun yang turut berbakat dalam bidang nyanyian di pentas.

Konsert ini dianjurkan susulan kejayaan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC) tahun lalu.

New Boyz pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat sejak ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:47 AM