ANTARA wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam Operasi Gegar di dua lokasi berasingan di Nilai, Negeri Sembilan serta Cheras, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober lalu. FOTO Ihsan JIM
ANTARA wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam Operasi Gegar di dua lokasi berasingan di Nilai, Negeri Sembilan serta Cheras, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober lalu. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tawar harga 'flat rate' RM180 bagi satu langganan. Itu taktik sindiket pelacuran wanita warga asing yang beroperasi di sebuah hotel bajet di Nilai, Negeri Sembilan bagi menarik pelanggan.

Bagaimanapun, kegiatan licik itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat serbuan Operasi Gegar pada 6 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima wanita warga asing terdiri tiga warga Thailand dan dua warga Indonesia disyaki melakukan akitiviti pelacuran.

"Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia yang juga pelanggan di premis ketika serbuan.

"Semakan mendapati segelintir wanita warga asing yang ditahan juga mempunyai kes dadah dan masih dalam proses perbicaraan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan dilakukan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

"Pelanggan ditawarkan dengan pakej perkhidmatan seks secara 'flat rate' iaitu RM180 bagi satu langganan.

"Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui applikasi We Chat dan Telegram," katanya.

Dalam operasi berasingan, pihaknya membuat satu lagi serbuan di sebuah hotel tiga bintang di Cheras, di sini, pada 7 Oktober lalu.

"Pergerakan serbuan ini agak mencabar kerana premis ini dikawal selia melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan tonto yang akan bertindak pantas menghentikan aktiviti serta menutup premis jika dapat mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan di premis ini, kami berjaya menahan lapan wanita warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan dua lelaki tempatan yang juga penjaga kepada wanita-wanita berkenaan.

"Lapan wanita warga asing itu terdiri daripada empat warga Indonesia, dua warga Thailand dan dua warga Vietnam," katanya.

Katanya, sindiket pelacuran mendaftarkan bilik-bilik di hotel berkenaan menggunakan nama warga tempatan dan hanya menerima pelanggan yang membuat tempahan melalui urusan We Chat dan Telegram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Perkhidmatan seks ditawarkan pada harga dari RM180 bagi tempoh 45 minit dan RM1,800 bagi langganan 24 jam atau sehari.

"Bayaran perlu dibuat secara dalam talian sebelum pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang ditempah," katanya.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, rentetan serbuan di dua lokasi ini, JIM mengesan dan mengenal pasti beberapa lokasi rangkaian sindiket yang aktif menjalankan aktiviti pelacuran.

Katanya, operasi penguatkuasaan dan tindakan susulan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral yang boleh mencemari proses Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:08 PM