PENYOKONG Belanda menjadikan bandar Dortmund berwarna jingga. FOTO AFP
PENYOKONG Belanda menjadikan bandar Dortmund berwarna jingga. FOTO AFP
AFP

Berlin: Selepas Euro 2020 yang tertunda akibat Covid-19 dan tersebar di seluruh benua, ia tidak memberi kejohanan itu satu jiwa yang padu, berbeza dengan musim panas ini yang menyaksikan puluhan ribu peminat berkumpul di Jerman untuk menebus keseronokan yang hilang.

Ramai yang memilih untuk tidak ke Qatar bagi Piala Dunia 2022 dengan menunggu dengan penuh debaran untuk kejohanan ini bermula.

Pelbagai gelagat dapat dilihat termasuk penyokong Turkiye yang membunyikan hon kereta pada waktu malam selepas kemenangan mereka, peminat Belanda yang menjadikan bandar tuan rumah sebagai 'lautan Oranje', dan keramahan warga Scotland di mana sahaja mereka pergi, membuktikan bahawa peminat adalah elemen penting dalam bola sepak.

Walaupun Sepanyol bersinar dalam perjalanan mereka ke final, banyak pasukan gergasi gagal untuk memberi persembahan menghiburkan.

Perancis tersingkir di separuh akhir selepas hanya menjaringkan satu gol dari masa sebenar, dengan pendekatan berwaspada.

Gareth Southgate, jurulatih England juga mengamalkan pendekatan yang sama, hanya menghasilkan lima percubaan tepat dalam 240 minit menentang Slovakia dan Switzerland dalam pusingan 16 akhir dan suku akhir yang dimenangi dalam masa tambahan dan penalti.

Portugal, dipimpin penyerang veteran, Cristiano Ronaldo yang kurang berfungsi, memerlukan penalti untuk melepasi Slovenia selepas seri 0-0 dalam pusingan 16 akhir dan kemudian tersingkir dalam satu lagi penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan dengan Perancis.

Bintang kejohanan di atas kertas, Kylian Mbappe dari Perancis, hanya menjaringkan satu gol dari sepakan penalti, manakala Harry Kane dari England pula kelihatan seperti berada dalam bayangan dirinya yang sebenar.

Georgia yang membuat penampilan sulung adalah kejayaan terbesar di kejohanan ini di mana banyak pasukan kecil menikmati saat-saat hebat.

Walaupun ramai yang mengkritik pengembangan Euro dari 16 pasukan kepada 24, beberapa negara kecil menunjukkan bahawa itu juga boleh menjadi sesuatu yang positif.

Georgia mencipta sejarah dengan meraih kemenangan Euro pertama mereka dengan kejutan 2-0 ke atas Portugal untuk mara ke pusingan kalah mati dan bahkan mendahului lawan finalis Sepanyol dalam pusingan 16 akhir.

Slovakia membuatkan England berada dalam keadaan tertekan dalam pusingan itu dengan The Three Lions hanya diselamatkan pada saat-saat akhir oleh tendangan akrobatik menakjubkan Jude Bellingham, sementara Portugal hanya berjaya melepasi Slovenia dengan kemenangan tipis.

Pasukan Matjaz Kek mara ke pusingan kalah mati untuk kali pertama dalam sejarah mereka.

Dalam suasana politik yang memfokuskan kepada pilihan raya penting di seluruh Eropah, terdapat beberapa suasana panas.

Pertahanan Turkiye, Merih Demiral, dikenakan penggantungan kerana membuat isyarat yang dikaitkan dengan kumpulan ekstremis kanan Turkiye, Grey Wolves.

Demiral berkata, simbol serigala itu tiada mesej tersembunyi dan adalah tanda kebanggaan Turkiye tetapi ia mencetuskan insiden diplomatik antara negaranya dan tuan rumah Jerman.

Dalam peringkat kumpulan, nyanyian menghina yang ditujukan kepada orang Serbia oleh penyokong Albania dan Croatia menyebabkan kedua-dua pasukan didenda oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Walaupun bintang-bintang terkenal agak kurang menyerlah di Jerman, pemain muda menunjukkan kecemerlangan.

Lamine Yamal dari Sepanyol menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah kejohanan pada usia 16 tahun dengan jaringan menawannya melawan Perancis, manakala Nico Williams yang baru berusia 22 tahun juga mudah memperdayakan pemain lawan di sebelah sayap.

Jamal Musiala dari Bayern Munich, 21 tahun, menjadi pemacu dalam usaha Jerman untuk merebut trofi, dan Arda Guler, 19 tahun, membawa Turkiye ke suku akhir buat pertama kalinya sejak 2008.

Kobbie Mainoo dari Manchester United, 19 tahun, juga membuktikan dirinya sebagai bahagian tonggak penting bahagian tengah England.

Tiada pasukan yang berjaya mempertahankan Euro selain Sepanyol pada 2012 tetapi cubaan Itali musim panas ini adalah sangat mengecewakan.

Mereka menang di Euro 2020 tetapi tanpa banyak pemain utama dari pasukan itu, termasuk Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci dan Marco Verratti, mereka tampil hambar di Jerman.

Azzurri mengalahkan Albania, pasukan kerdil 2-1 tetapi tewas 0-1 kepada Sepanyol dan mencuri kemenangan dengan jaringan terakhir menentang Croatia ketika seri 1-1.

Jurulatih Luciano Spalletti berdepan kesukaran untuk mendapatkan rentak dari skuadnya yang beliau labelkan sebagai 'lambat panas' selepas mereka tersingkir di pusingan 16 akhir kepada Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:40 AM