GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemilik akaun TikTok yang ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh media sosial, Rajeswary atau lebih dikenali Esha disambung reman dua hari.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 44 tahun itu selama empat hari berakhir hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis memohon tambahan reman selama dua hari lagi yang akan bermula esok sehingga Selasa ini bagi melengkapkan siasatan.

"Polis akan merujuk kertas siasatan yang lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok.

"Sehingga kini, seramai 11 saksi sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung ugutan dan ancaman terhadap Esha," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pemilik akaun TikTok ditahan polis kerana disyaki terbabit kes ugutan dan ancaman terhadap Esha.

Ahmad Sukarno dilaporkan berkata, suspek kedua ditahan di kawasan Setapak, jam 6.30 petang, pada 10 Julai lalu.

Sebelum itu, suspek pertama membabitkan wanita berusia 35 tahun ditahan polis di Bukit Beruntung, Selangor, pada 8 Julai lalu.

Penahanan terbabit dibuat berikutan laporan berhubung dua akaun TikTok menggunakan nama 'Dulal Brothers' dan 'Alphaquinnsha' mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary.

Kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing yang mengandungi ugutan dan ancaman kepada Esha selain turut menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 12:28 PM