PASANGAN suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk mendapatkan perintah reman bagi siasatan kes penderaan dua kanak-kanak. FOTO Rosli Ilham
PASANGAN suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk mendapatkan perintah reman bagi siasatan kes penderaan dua kanak-kanak. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Pasangan suami isteri yang disyaki mendera dua kanak-kanak di Kampung Jabur Kubur, di sini, direman enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shahsa Amir Sharifuddin bermula hari ini hingga 19 Julai.

Terdahulu suspek wanita berusia 26 tahun dan suaminya berusia 30 tahun tiba di Mahkamah Majistret Kemaman jam 8.30 pagi selepas ditahan jam 8 malam tadi.

Perintah reman itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan abangnya yang berusia tujuh tahun dilaporkan didera di kediaman mereka kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, siasatan mendapati ada kesan kecederaan baru dan lama di keseluruhan badan kedua-dua mangsa.

"Saksi melaporkan dia melihat seorang mangsa disepak dan diterajang oleh suspek dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dijalankan.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kemaman dan masih menerima rawatan lanjut," katanya.

Katanya, susulan itu, polis menahan suspek wanita yang juga ibu kandung kepada kedua-dua mangsa dan bapa tiri kanak-kanak itu yang bekerja sebagai buruh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 12:58 PM