BUAYA betina yang ditembak mati dalam operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru. FOTO ihsan JHL
BUAYA betina yang ditembak mati dalam operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru. FOTO ihsan JHL
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seekor buaya betina mati ditembak dalam operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru, di sini, Khamis lalu.

Reptilia sepanjang 2.5 meter itu ditemukan di tepi rumah atas air di kampung berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silverter Saimin berkata, satu operasi bersepadu membanteras buaya terdiri daripada JHL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dijalankan pada Khamis lalu.

Katanya, operasi meliputi beberapa kawasan iaitu POIC, Kampung Dasar Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Terusan.

"Kehadiran seekor buaya dikesan di tepi rumah atas air di Kampung Sabah Baru.

"Satu das tembakan dilepaskan oleh JHL dan berjaya menembak mati buaya berkenaan," katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, bangkai buaya itu dibawa ke perumahan kakitangan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Operasi membanteras buaya akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:32 AM