ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Gegar dilakukan di dua premis di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor, Isnin lalu.
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Gegar dilakukan di dua premis di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor, Isnin lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket pelacuran berselindung di sebalik hotel bajet di Kuchai Lama, di sini, yang menawarkan harga RM190 hingga RM240 bagi perkhidmatan seks untuk setiap langganan terbongkar dalam serbuan Op Gegar pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menyerbu dua premis yang menyajikan pelacur dan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing di Kuchai Lama dan Puchong, Selangor pada 1 November lalu.

Menurutnya, seramai 34 warga asing berjaya ditahan dalam dua serbuan berkenaan.

"Operasi pertama dijalankan di hotel bajet di Kuchai Lama yang membawa kepada penahanan tujuh wanita warga Thailand, empat wanita warga Indonesia dan tiga wanita masing-masing warga Myanmar, Laos dan Vietnam yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran.

"Turut ditahan adalah tiga lelaki warga Myanmar yang juga pekerja dan penjaga premis berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan dilakukan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan kerana harga yang ditawarkan agak tinggi bermula dari RM190 hingga RM240 bagi satu langganan.

"Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara dalam talian terlebih dahulu melalui applikasi Wechat dan Telegram," katanya.

Beliau berkata, operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor dengan premis itu dikawal oleh tonto sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan terbabit bagi menggagalkan serbuan dari pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, strategi tonto itu berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan. Semasa serbuan dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing terbabit.

"Namun, tindakan mereka gagal berikutan premis itu sudah dikepung dan semua jalan keluar sudah dikenal pasti lebih awal oleh pegawai serbuan," katanya.

Katanya, pemeriksaan dilakukan di premis itu berjaya menahan 16 wanita warga Vietnam yang disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warga India yang juga pekerja di pusat hiburan terbabit.

"Siasatan awal mendapati premis itu menawarkan khidmat GRO sebagai peneman ketika minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti terhadap semua warga asing berkenaan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

"Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Katanya, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang terutamanya membabitkan warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 1:08 PM