Abdul Kadir Abu Hashim
Abdul Kadir Abu Hashim
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Ada yang mampu hidup mewah selain memiliki aset ratusan ribu ringgit hanya melalui aktiviti haram menjual pelbagai spesies burung liar dilindungi.

Itu antara kekayaan dimiliki ahli sindiket serta 'kaki burung' yang ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia selepas didapati aktif menjual burung liar melalui medium media sosial.

Berdasarkan operasi dilakukan bagi mengekang aktiviti pemerdagangan haram unggas tempatan baru-baru ini, ada suspek ditahan memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire, kediaman mewah serta pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ada antara suspek ini hanya bekerja sebagai kerani atau menganggur tetapi mampu hidup bergaya melalui hasil pendapatan menjual unggas 'bersuara emas'.

Menurutnya, golongan ini akan membeli burung dari 'orang tengah' atau individu yang menjalankan aktiviti memikat burung serindit, murai batu, bayan puling dan pelbagai spesies lain sebelum diiklankan di media sosial.

"Ada burung ini asalnya dibeli pada harga sekitar RM500 hingga RM1,000 seekor. Ia kemudian dijual kepada peminat tegar mencecah RM5,000 seekor.

"Walaupun ia dianggap membazir namun hanya golongan tegar yang meminati kicauan burung memahami hobi ini. Mereka sanggup berhabis duit semata-mata mahu memiliki burung dengan kicauan terbaik," katanya.

Menurutnya, Perhilitan sentiasa melakukan pelbagai inisiatif bagi menyelamatkan hidupan ini melalui usaha mengekang aktiviti pemburuan haram.

"Melalui operasi Op Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membendung kes jenayah hidupan liar serta pencerobohan hutan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), banyak kejayaan diperolehi," katanya.

Selain itu Perhilitan turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) dan Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) bagi mengekang aktiviti haram ini.

"Pelaksanaan OBK adalah bagi meningkatkan keberkesanan dalam aspek penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk jenayah flora dan fauna yang meliputi pencerobohan hutan, pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan pengambilan sumber biodiversiti secara haram di seluruh negara.

"Perdagangan hidupan liar kini berada di kedudukan keempat di antara jenayah-jenayah global yang lain.

"Ia menjadi jenayah yang mampu menjana keuntungan lumayan. Polis Antarabangsa (Interpol) menganggarkan aktiviti penyeludupan hidupan liar menjana pendapatan sebanyak AS$20 bilion setahun," katanya.

Abdul Kadir Abu berkata, permintaan yang tinggi dalam kalangan 'kaki burung' dalam dan luar negara menyebabkan harga spesies burung tertentu menjadi mahal.

"Antara burung liar dilindungi yang popular dikalangan sindiket adalah murai batu, serindit, kelicap kunyit, burung daun, burung sanwu, hua mei, kakaktua dan barau-barau.

"Sehingga kini Perhilitan berjaya merampas burung bernilai lebih RM3 juta hasil operasi berterusan sejak 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:01 PM