DONALD Trump dibawa turun dari pentas selepas kejadian tembakan ketika berkempen di Butler, Pennsylvania. FOTO AFP
DONALD Trump dibawa turun dari pentas selepas kejadian tembakan ketika berkempen di Butler, Pennsylvania. FOTO AFP
Reuters

Butler, Pennsylvania: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, 78, baru sahaja memulakan ucapan dalam kempen di Butler, Pennsylvania, pada Sabtu, ketika bunyi tembakan kedengaran.

Ketika bunyi tembakan, Trump dilihat memegang telinga kanannya dengan tangan kemudian menurunkan tangannya ke bawah untuk melihatnya sebelum jatuh berlutut di belakang podium.

Ejen Perkhidmatan Rahsia segera mengerumuni dan melindunginya.

Beliau bangun kira-kira seminit kemudian, dan topi merah dengan tulisan 'Make America Great Again' tertanggal, sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan yang menunggu.

"Saya ditembak dengan peluru menembusi bahagian atas telinga kanan saya," kata Trumph di platform Truth Socialnya.

"Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi berdesing, tembakan dan serta-merta merasakan peluru itu menembusi kulit.

"Banyak pendarahan berlaku, jadi saya menyedari apa yang berlaku," kata Trump.

Trump turut mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia dan penguatkuasaan undang-undang atas tindak balas pantas mereka dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera.

"Sungguh luar biasa perbuatan seperti itu boleh berlaku di negara kita. Setakat ini, tiada yang diketahui mengenai penembak, yang kini sudah mati," katanya.

Ejen Perkhidmatan Rahsia berkata penembak melepaskan beberapa tembakan dari 'kedudukan tinggi' di luar perhimpunan sebelum dibunuh oleh ejen.

Insiden kini disiasat sebagai cubaan membunuh, kata sumber kepada Reuters.

Turut terbunuh seorang peserta perhimpunan, manakala dua lagi cedera.

Pasukan kempen Trump berkata, beliau dalam keadaan baik.

Bloomberg melaporkan Trumph sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:33 AM