AB Rauf (batik) ketika pada sambutan Melaka Heritage Festival 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO 2024. FOTO Abu Bakar
AB Rauf (batik) ketika pada sambutan Melaka Heritage Festival 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO 2024. FOTO Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejayaan Melaka mengekalkan pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia (Unesco) yang memasuki tahun ke-16 membanggakan pemimpin dan seluruh rakyat negeri berkenaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pada 7 Julai 2008 lalu dengan rasminya Bandaraya Melaka dan Georgetown dicalonkan secara serial nomination yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa Persidangan ke-32 Jawatankuasa Warisan Dunia di Quebec, Kanada.

Katanya, ia manifestasi penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan negeri dalam memulihara warisan dan sejarah Melaka lebih 600 tahun dahulu menerusi pengiktirafan terbabit meletakkan Melaka sebagai 'Preferred Tourist Destination' di mata dunia.

Beliau berkata, sejarah Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka memperlihatkan kedudukan negeri berkenaan yang strategik sebagai sebuah pelabuhan terkemuka di alam Melayu sehingga menarik ribuan pedagang dari serata dunia untuk berdagang sekali gus pentas pertukaran budaya.

"Justeru bertemakan Warisan Kita, Kebanggaan Kita atau Our Heritage, Our Pride dilihat bertepatan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia yang memiliki kepentingan budaya yang luar biasa dan diiktiraf oleh Unesco kerana nilai sejagatnya termasuk tapak runtuhan purba, monumen bersejarah, landskap semula jadi dan amalan budaya oleh masyarakat setempat.

"Berikutan itu, kerajaan negeri mengambil serius usaha memulihara Tapak Warisan Dunia kerana ia sebagai harta tidak ternilai untuk menjadi destinasi tarikan pelancongan yang utama secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Melaka Heritage Festival 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia-Unesco 2024 di Klebang di sini malam tadi.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman,Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad dan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia Datuk Indera Hermono.

Melaka Heritage Festival yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menampilkan pelbagai acara menarik termasuk perarakan kebaya dan busana klasik membabitkan lebih 400 peserta di perkarangan Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir.

Simbolik perasmian membabitkan pementasan sebuah teater muzikal Hang Tuah yang digarap dari naskhah Hikayat Hang Tuah, menerusi manuskrip terawal tahun 1758.

Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah 'Ampun Tuanku, LTitah Dijunjung' mengisahkan sedikit sorotan ketika Hang Tuah lima bersaudara kecil sehingga dewasa serta sehingga Hang Tuah menjadi seorang laksamana dan pembesar yang bijaksana.

Antara pelakon membabitkan pelakon popular seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy dan Ashraf Muslim itu yang diarahkan penggiat teater dan drama terkemuka negara Lokman Ab. Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 11:37 AM