ANTARA anak murid Nurfaseha yang meminati sirah 25 Rasul dan sahabat Nabi Muhammad SAW. FOTO ihsan Nur Faseha Tarmizi
ANTARA anak murid Nurfaseha yang meminati sirah 25 Rasul dan sahabat Nabi Muhammad SAW. FOTO ihsan Nur Faseha Tarmizi
Noor Hidayah Tanzizi


Gombak: Melentur buluh biarlah daripada rebung menjadi falsafah penting dalam usaha mendidik generasi muda mencintai sirah nabi dan sahabat dalam perjuangan Islam.

Itu usaha yang dilakukan guru al-Quran, Nurfaseha Tarmizi, 33, yang 'mencuri' masa bercerita mengenai sirah 25 Rasul dan sahabat Nabi Muhammad SAW kepada 23 murid selepas kelas mengaji.

Selain itu, ibu kepada tiga anak itu turut mengadakan kuiz sirah untuk menguji kefahaman dan ingatan muridnya yang berusia antara tiga hingga 12 tahun yang turut mendapat pujian netizen selepas dia berkongsi video di TikTok.

Nur Faseha berkata, pendedahan sirah Rasul dan sahabat Rasulullah SAW perlu diberikan seawal usia muda supaya dapat menyuburkan rasa cinta kepada perjuangan agama Islam.

Menurutnya, usaha itu juga dapat memberi inspirasi sekali gus menjadikan kanak-kanak mengidolakan nabi dan sahabat terutama Rasulullah SAW berbanding hero ciptaan manusia.

"Setiap hari saya buka kelas mengaji di rumah mengikut sesi dan selain mengaji, membetulkan tajwid dan hafazan saya juga mengajar sirah kepada murid sebelum mereka pulang.

"Saya ceritakan sirah Nabi Adam SAW sehingga Rasulullah dan sahabat. Kelas sirah menjadi sesi paling disukai semua murid dan mereka teruja mendengar kisah para Anbiya serta menunjukkan minat untuk mendalami kisah itu," katanya yang turut membuka kelas dalam talian.

Dia yang menetap di Kampung Changkat di sini, berkata, sirah juga dapat membantu membentuk sahsiah diri dengan mencontohi keperibadian dan akhlak nabi yang menjadi kisah benar dan bukan rekaan semata-mata.

"Kita mahu anak mengidolakan nabi dan sahabat terutama Nabi Muhammad SAW. Islam mempunyai banyak nama yang layak dijadikan idola seperti Bilal bin Rabah yang tabah menghadapi seksaan dan pahlawan Islam, Khalid Al-Walid," kata graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Nurfaseha berkata, perkongsiannya mengadakan kuiz sirah di TikTok itu sebagai 'platform' menyampaikan ilmu dan menyebarkan mesej positif kepada orang ramai untuk mempelajari sirah yang perlu diterapkan sejak kanak-kanak.

"Sudah menjadi kebiasaan apabila habis kelas saya akan buat kuiz untuk lihat adakah murid faham dan ingat apa yang saya ajar supaya ilmu itu akan selalu diingati murid.

"Dalam mengajar saya letakkan diri sebagai ibu jadi saya mahu murid mengetahui sirah Islam dan perkara sama juga saya dedahkan kepada anak sendiri," katanya yang sedang melanjutkan dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) secara separuh masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 12:03 PM