Abdul Razak Raaff


MALAYSIA menegaskan Asean perlu memiliki solidariti satu suara mewakili rantau itu bagi menyuarakan pandangan dalam menghadapi kesan serta cabaran perang perdagangan oleh kuasa besar ekonomi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kesepakatan suara Asean membawa pandangan 10 negara anggotanya perlu untuk menjadikan rantau itu lebih kuat sekali gus boleh didengari kuasa ekonomi dunia dan negara maju.

Beliau berkata, Asean perlu bertindak sebagai satu entiti kesatuan serantau kerana memiliki 650 juta rakyat sekali gus mewujudkan pasaran pengguna yang besar.

Menerusi kekuatan itu, katanya, Asean perlu bergerak sebagai satu organisasi serantau dengan mempunyai kesepakatan jitu dalam mempersoalkan pelbagai isu di peringkat antarabangsa.

“Asean tidak boleh bergerak sendirian... apabila kita bersama-sama dan memiliki satu suara maka kita mempunyai sumber yang kuat dan ramai.

“Semua negara dalam Asean juga ahli Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO)... jadinya suara Asean menjadi lebih kuat dalam menyampaikan pandangan kepada kuasa besar ekonomi.

“Kita perlu ingat bahawa tiada siapa yang akan dengar pandangan kita kecuali kita mempunyai kekuatan, kekayaan dan berkuasa. Oleh demikian, adalah lebih baik Asean diwakili satu suara dan setiap kali menghadiri pelbagai forum perlu membuat satu ketetapan khusus,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sesi dialog Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Asean 2019 (ABIS), di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, di sini, semalam.

Moderator dialog itu ialah Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean, Arin Jira.

Perdana Menteri juga berkata, kesepakatan suara dan pendirian Asean penting supaya negara anggotanya tidak mudah dibuli kuasa besar ekonomi.

“Apabila kita bergerak sendirian umpamanya Malaysia sendiri...Thailand sendiri dalam forum antarbangsa maka suara atau pandangan tidak kuat. Jika kita bersendirian kita akan kena buli,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, Asean juga perlu memanfaatkan 650 juta penduduknya yang mewujudkan pasaran domestik besar sekali gus membantu industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serantau berkembang.

Beliau memberi contoh bagaimana China boleh menjadi kuasa besar ekonomi kerana memanfaatkan keperluan dan kehendak pasaran domestiknya menerusi 1.4 bilion rakyatnya.

Jadinya, beliau berkata, anggota Asean juga boleh berbuat demikian bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara serantau seterusnya membantu pembangunan industri PKS.

“Menerusi Revolusi Industri 4.0 dan era teknologi digital ketika ini, lebih mudah untuk berurus niaga dan pihak kerajaan perlu mempromosi serta menentukan hala tuju bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:30 AM
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi berdialog Sidang kemuncak ABIS di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, Bangkok, Thailand. FOTO Bernama
TUN Dr Mahathir Mohamad ketika sesi berdialog Sidang kemuncak ABIS di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, Bangkok, Thailand. FOTO Bernama