myMetro

Kuala Lumpur: Pemuktamadan rundingan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) akan memastikan perdagangan global kekal sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Mukhtar Hussain berkata, semua 16 negara terbabit kini dalam proses memperincikan aspek terma berkaitan sebagaimana dirumuskan dalam mesyuarat peringkat menteri terbaru yang menetapkan keutamaan pelaksanaannya pada 2017.

“Amat menarik untuk melihat semua aspek perundingan itu mencatat perkembangan. Malah, dua daripada 20 bahagian perjanjian RCEP yang membabitkan kerjasama ekonomi dan teknikal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut dimuktamadkan manakala bahagian lain pula menghampiri usaha berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mesyuarat Antara Sesi Peringkat Menteri RCEP Ketiga diadakan di Hanoi, Vietnam pada 21 dan 22 Mei 2017 yang juga susulan kepada pusingan rundingan ke-18 di Pasay City, Filipina pada 2 hingga 12 Mei lalu.

Mukhtar turut optimis RCEP berpotensi membentuk agenda perdagangan antarabangsa dengan menawarkan liberalisasi perdagangan lebih mendalam dan berskala besar dalam aspek barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang secara kasarnya turut meliputi separuh daripada populasi dunia.

“Ia juga merangkumi hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 30 peratus aliran pelaburan langsung asing global.

“RCEP mempunyai skala yang mencukupi bagi membentuk peraturan perdagangan yang merangkumi sebahagian besar ekonomi global.

“Cadangan perjanjian itu juga memberi negara terbabit akses kepada potensi tiga pasaran pengguna terbesar iaitu ASEAN, China dan India,” katanya.

Mengulas manfaatnya untuk Malaysia, Mukhtar berkata, RCEP memberi peluang dari segi meningkatkan liberalisasi perdagangan dan penyepaduan ekonomi.

“Malaysia sebagai sebuah ekonomi utama ASEAN, boleh memanfaatkan usaha itu bagi memperkukuhkan perdagangan dengan rakan RCEP lain manakala syarikat tempatan pula dapat meninjau peluang untuk berkembang di peringkat serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 2:26 AM