DR Mahathir memeriksa perbarisan kehormat bersama Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte, semalam.
DR Mahathir memeriksa perbarisan kehormat bersama Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte, semalam.
BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad mencadangkan negara anggota ASEAN mengkaji semula idea lama masing-masing membabitkan perkongsian pasaran domestik yang diilhamkan semasa blok itu ditubuhkan pada 1967.

Perdana Menteri berkata menerusi konsep itu, negara anggota ASEAN boleh membincangkan dan memutuskan industri utama tertentu di setiap negara dengan semua anggota boleh memanfaatkan pasaran besar yang meliputi lebih 600 juta penduduk di rantau ini.

Beliau berkata, ironinya rakyat di rantau ini berpecah dengan setiap negara anggota ASEAN memberi tumpuan yang lebih kepada pasaran domestik masing-masing, sekali gus tidak membantu mempercepat pembangunan sesama mereka.

Dr Mahathir menegaskan pelaksanaan konsep perkongsian pasaran dalam kalangan negara anggota ASEAN sangat bermakna dalam mewujudkan pertumbuhan sejagat, pembangunan serta kemakmuran di rantau itu.

“Ini dilakukan China yang memanfaatkan penduduknya seramai 1.4 bilion untuk menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia kurang dari 40 tahun,” katanya.

“China berubah dalam tempoh singkat, kurang dari 40 tahun daripada negara miskin dunia ketiga kepada kuasa ekonomi kedua terbesar dunia,” katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Filipina, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Ramon M. Lopez .

“Ini patut memberi pengajaran. Jumlah penduduk yang besar boleh membantu mengembangkan ekonomi kita, sudah pasti kita perlu produktif namun dengan penduduk yang berpecah (tidak berkongsi pasaran domestik), ia tidak banyak membantu.

“Meskipun ada 600 juta penduduk tinggal di Asia Tenggara, kita masih melihat diri kita sebagai negara berlainan, dengan pasaran domestik berbeza. Ini mengehadkan kapasiti berkembang,” kata Dr Mahathir.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, idea bekongsi pasaran dalam kalangan negara anggota ASEAN wajar dikaji semula bagi mengenal pasti mengapa kumpulan serantau itu masih tidak dapat mengeksploitasi pasaran dengan 600 juta penduduk.

“Namun idea itu hanya boleh dipromosi sekiranya ada pihak bersediak melihat dan mengkaji semula keseluruh konsep,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ini yang menyebabkan Malaysia mengeratkan hubungan dengan Indonesia, Thailand dan Filipina, yang mempunyai penduduk yang ramai dan pasaran domestik bagi membolehkan Malaysia berkongsi pasaran domestiknya yang luas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:00 AM