MALAYSIA perlu meneroka pelbagai kerjasama
MALAYSIA perlu meneroka pelbagai kerjasama
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan perubahan pada masa depan serta berganjak dari fikiran lama yang menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sebagai kiblat ekonomi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dekad baharu ini juga akan menyaksikan ekonomi Asia seperti China, India, Asean, Jepun dan Korea akan mengambil alih ekonomi dunia dari AS dan Eropah.

Beliau berkata, untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh perubahan raksasa ini, Malaysia memerlukan sebuah imaginasi baharu dan berfikir dengan lebih meluas lagi.

“Selamat datang 2020. Kita memasuki dekad baharu yang membawa cabaran pelbagai dimensi merangkumi dunia politik, ekonomi dan sosial.

“Oleh itu, kita perlukan imaginasi baharu. Kita perlu ada keberanian untuk berfikir lebih jauh.

“Semakin jelas kita menyaksikan terhakisnya keteraturan dunia yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.

“AS memainkan peranan utama dalam membentuk keteraturan itu tidak lagi berada di tangga teratas sebagai kuasa ekonomi.

“Diukur dari pariti kuasa beli, kedudukan ini telah diambil oleh China,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2020 di sini, semalam.

Mengulas mengenai anjakan pemikiran berkenaan, Mohamed Azmin berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memulakannya dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini.

“Sidang kemuncak berkenaan membuka ruang kepada kerjasama strategik ekonomi dan teknologi secara kolektif di antara negara-negara Islam dan ummah yang berjumlah 1.7 bilion,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa Malaysia perlu meneroka pelbagai kerjasama strategik di peringkat global untuk menangani kesan perang dagang antara China dan AS.

“Perang dagang ini turut menunjukkan bagaimana AS sendiri mengabaikan salah satu aspek utama keteraturan dunia yang negara itu laksanakan.

“Kerjasama strategik ini penting memandangkan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka. Namun, Malaysia perlu mengukuhkan asas ekonomi domestik untuk memiliki daya tahan,” katanya.

Selain itu, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan pada 5 Oktober lalu akan menjadi tunjang kepada usaha membangun ekonomi Malaysia yang dinamik dan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 7:00 AM