Hadzlihady Hassan


ANGGOTA bomba terpaksa mengambil masa hampir 15 minit untuk memujuk dan memotong besi tong gas bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan yang tersangkut dalam kejadian pada Isnin lalu.

Kaki kanak-kanak berusia tiga tahun itu dikatakan tersangkut di celah bahagian atas tong gas terbabit ketika berada dalam kereta bapa saudaranya.

Mangsa dipercayai mengikut bapa saudaranya memindahkan barang dari Balik Pulau ke Bukit Mertajam sebelum menyedari kejadian itu sebaik melalui Perai.

Berikutan itu, lelaki berkenaan terpaksa membawanya ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai untuk bantuan mengeluarkan kedua-dua kaki kanak-kanak terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.15 petang yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit menghubungi bomba memaklumkan kejadian dan secara kebetulan mereka melalui kawasan BBP Perai.

“Pemandu kereta berkenaan mendakwa dia sendiri tidak tahu bagaimana kaki mangsa boleh tersangkut pada tong gas terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:16 PM
Anggota bomba memujuk kanak-kanak perempuan yang tersangkut kaki pada bahagian atas tong gas dalam kejadian di Perai pada Isnin lalu. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba memujuk kanak-kanak perempuan yang tersangkut kaki pada bahagian atas tong gas dalam kejadian di Perai pada Isnin lalu. Foto Ihsan JBPM