ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Kim Sir, Perai. FOTO ihsan JBPM
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak lelaki yang tersepit dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Kim Sir, Perai. FOTO ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Anggota bomba menggunakan syampu sebagai bahan pelincir bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak lelaki yang sangkut dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Kim Sir, Perai di sini, tengah hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.55 tengah hari berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai kemudiannya bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Tiba di lokasi didapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menangis apabila kaki kanannya tersangkut dalam mangkuk tandas selepas tergelincir.

"Anggota kemudiannya mententeramkan kanak-kanak itu dan menggunakan peralatan khas termasuk mengambil syampu dalam bilik air berkenaan untuk dijadikan bahan pelincir bagi memudahkan proses mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Kaki mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh hanya antara lima ke 10 minit dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan dialaminya dan kanak-kanak itu boleh berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 4:04 PM