ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat  Shu Ching yang ditemui nelayan di perairan Pulau Aman, semalam.
ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat Shu Ching yang ditemui nelayan di perairan Pulau Aman, semalam.
Hadzlihady Hassan

Georgetown: Selepas hampir 15 jam terjun dari Jambatan Pulau Pinang, mayat seorang perempuan ditemui sekumpulan nelayan di kawasan Perairan Pulau Aman, dekat sini, semalam.

Mayat mangsa, Khor Shu Ching, 22, ditemui jam 11 pagi dan dibawa ke Jeti Nelayan Kampung Tok Kangar, Juru sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 7.30 malam kelmarin, mangsa yang memandu Perodua Axia meninggalkan keretanya di tepi jalan sebelum terjun ke dalam laut di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai.

Tindakannya itu menggemparkan orang ramai yang melalui jambatan berkenaan sebelum segera menghubungi pasukan penyelamat memaklumkan kejadian.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di lokasi wanita itu terjun sebelum dihentikan kerana faktor cuaca.

Operasi SAR kemudian bersambung jam 8 pagi semalam dan pihak berkuasa dimaklumkan sekumpulan nelayan menemui mayat mangsa terapung di laut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

“Laporan bedah siasat dimaklumkan doktor pada masa terdekat dan kami juga memaklumkan ahli keluarga berhubung penemuan mayat mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:27 AM