HIDEKO Takabayashi memberikan makanan kepada kucing milik mendiang ibunya bernama Mei yang setia menunggu tuannya yang sudah meninggal dunia. FOTO Agensi
HIDEKO Takabayashi memberikan makanan kepada kucing milik mendiang ibunya bernama Mei yang setia menunggu tuannya yang sudah meninggal dunia. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Menyentuh hati apabila seekor kucing masih berharap dan setia menunggu 'kepulangan' tuannya yang sebenarnya sudah meninggal dunia dalam tragedi gempa bumi besar melanda Semenanjung Noto enam bulan lalu.

The Japan News melaporkan, kucing bernama Mei itu masih tidak meninggalkan rumah yang rosak akibat bencana itu yang sebelum ini menjadi kediamannya selama 10 tahun bersama tuannya seorang wanita penyayang iaitu Kazue Ueno.

Kazue berusia 86 tahun yang sangat sukakan kucing dan anjing terbunuh ketika gempa bumi berkenaan yang turut meranapkan rumahnya.

Selepas suaminya meninggal dunia, seorang kenalan memberinya Mei dan dia menjaga kucing itu dengan baik.

Malah Kazue dikatakan pernah berkata: "Walaupun saya tidak makan, saya perlu memastikan Mei cukup makan".

Mei akan sentiasa menggesel kaki Kazue ke mana sahaja wanita itu pergi sama ada ke ladang atau keluar untuk merumput.

Pada waktu malam, kucing itu akan tidur bersamanya.

Kini, anak perempuan sulung Kazue, Hideko Takabayashi, 66, seorang pekerja sambilan dari Wajima, daerah Ishikawa, akan rumah itu setiap hari untuk memberi Mei makan.

Hideko terus berharap kucing itu akan menerimanya kelak.

"Mari sini dan makan," itu rutin Hideko memanggil Mei sebaik tiba di rumah mendiang ibunya, kira-kira 20 minit perjalanan dengan kereta dari rumahnya sendiri.

Pada mulanya, Mei akan bersembunyi lari ke dalam runtuhan apabila melihat Hideko.

Lama-kelamaan Mei sudah berani untuk datang ke arah Hideko untuk makan tetapi sahaja selesai makan, kucing itu akan segera beredar.

Apabila Hideko cuba menyentuh Mei, kucing itu menjadi garang dan menderam atau melarikan diri, tetapi Hideko berharap dapat membawa Mei pulang bersamanya suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 4:05 PM