BARANG curi yang dirampas daripada tiga penyamun di pangsapuri di Bandar Perai Jaya. FOTO Ihsan PDRM
BARANG curi yang dirampas daripada tiga penyamun di pangsapuri di Bandar Perai Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


TONG gas, dapur dan pemain cakera padat digital (DVD). Itu yang diperoleh sekumpulan tiga penyamun ketika memecah masuk sebuah pangsapuri di Bandar Perai Jaya, dekat Bukit Mertajam, minggu lalu.

Bagaimanapun, perbuatan itu tidak bertahan lama selepas polis berjaya menjejaki dan menahan mereka melalui kesan cap jari yang ditemui pada peti sejuk di rumah terbabit, kelmarin.

Penemuan cap jari itu dilakukan selepas polis membuat pemeriksaan dalam rumah terbabit susulan laporan yang dibuat pemiliknya.

Sebelum itu, pemilik rumah berkenaan meninggalkan kediamannya sejak 2 Februari lalu kerana pulang ke kampungnya di Kelantan bersama isteri dan seorang anak.

Pemilik rumah berusia 22 tahun itu kemudian pulang kelmarin dan terkejut apabila melihat pintu hadapan rumahnya terdapat kesan umpil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa kemudian masuk ke rumahnya dan melihat ia dalam keadaan berselerak.

“Pemilik rumah mendapati dapur, tong gas dan pemain DVD miliknya hilang sebelum membuat laporan polis.

“Susulan itu, kita membuat pemeriksaan dalam rumah terbabit dan menemui beberapa kesan cap jari di peti sejuk sebelum berjaya menjejaki suspek,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semua suspek yang berusia 22 hingga 29 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita berjaya menemui semua barang yang dicuri itu di tingkat lima sebuah flat di Perai.

“Selain itu, kita turut merampas beberapa peralatan seperti alat pemotong dan pengasah dipercayai digunakan suspek ketika melakukan aktiviti pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:47 PM