KAKI kanak-kanak yang tersangkut dalam salur paip. FOTO Ihsan Bomba.
KAKI kanak-kanak yang tersangkut dalam salur paip. FOTO Ihsan Bomba.
BERNAMA

Johor Bahru: "Kamu adalah hero saya," berulang kali Raydon Koh mengungkapkan ayat itu kepada anggota bomba ketika mengeluarkan kaki kanannya yang tersepit di dalam saluran paip lubang tandas rumahnya di Taman Sutera Dahlia sini, malam tadi.

Malah, sepanjang proses mengeluarkan kakinya, kanak-kanak berusia tiga tahun itu juga tidak menangis walaupun terpaksa menahan kesakitan selama sejam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, dalam kejadian 11.22 malam itu, ibu Koh memberitahu anaknya bersendirian ke bilik air untuk membuang air sebelum kaki kanannya tersangkut sehingga paras lutut.

"Pemeriksaan dilakukan pada saluran paip dan sebahagian daripadanya dipotong dengan menggunakan peralatan khas dan kaki kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dalam masa tujuh minit," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Mohamad Nazaruddin berkata, kanak-kanak itu sempat mengucapkan penghargaan dengan mengatakan anggota bomba yang menyelamatkannya sebagai heronya.

Malah, ketika proses mengeluarkan kakinya, kanak-kanak itu tidak menangis dan hanya menjerit apabila terasa sakit.

"Dia juga berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan yang teruk," katanya dan menambah pihaknya menasihatkan ibu bapa kanak-kanak itu supaya membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Seramai 13 anggota dengan sebuah jentera, satu unit Emergency Rescue Medical Services (EMRS) dan tiga Rapid Intervention Motorcycle (RIM) ditugaskan menyelamatkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 11:21 AM