ZII Jia dilihat memperoleh undian mudah di peringkat kumpulan. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia dilihat memperoleh undian mudah di peringkat kumpulan. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain badminton negara yang akan beraksi Sukan Olimpik Paris bermula hujung bulan ini disarankan untuk tidak mengambil mudah cabaran yang akan dihadapi dalam peringkat kumpulan nanti.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, di pentas olimpik sudah pasti atmosferanya berbeza dan atas faktor itu, kedudukan ranking di peringkat kumpulan tidak lagi boleh dijadikan keutamaan bagi setiap pemain.

"Kita suka buat andaian menerusi kedudukan dalam kumpulan yang bersandarkan pada ranking. Jadi sebenarnya tak perlulah kita ambil perkara itu terlalu yakin sangat seolah-olah berdasarkan kepada kedudukan kumpulan, mudah untuk kita layak ke suku akhir.

"Sebab ini Olimpik, jadi setiap pasukan yang layak, sudah pastilah mereka akan bekerja keras untuk memastikan layak ke peringkat seterusnya. Cuma di atas kertas, kita nampak macam mudah sikit laluan untuk Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) ke pusingan 16 dan beregu campuran (Chen Tang Jie-Toh Ee Wei) ke suku akhir.

"Tetapi walaupun macam itu, kita tak boleh pandang ringan sebab apa saja kemungkinan boleh berlaku.

"Cuma jangan pandang ringan dan jangan selalu bersandarkan kepada kedudukan atas kertas sebab kita tahu dalam badminton ini apa-apa boleh berlaku. Sebab pemain ranking nombor satu pun boleh kalah dengan pemain yang tak ada ranking," katanya kepada Arena Metro.

Namun begitu, Pekan berpendapat undian untuk wakil negara agak baik sekali gus memberi harapan lebih baik untuk melihat pemain Malaysia meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Zii Jia dan Tang Jie-Ee Wei dilihat mempunyai peluang cukup baik untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya berbanding beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang diundi dalam kumpulan maut.

Namun begitu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengharapkan semangat juang tinggi dapat ditampilkan oleh beregu wanita negara, Pearly-Thinaah selepas diundi dalam Kumpulan A yang dilihat penuh berliku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 4:15 PM